arena

Ketiadaan Djokovic suramkan Terbuka Qatar

Oleh AFP

DOHA: Salah satu kejohanan pembuka musim tradisi, Terbuka Qatar bermula esok tanpa kehadiran pemain bintang selepas Novak Djokovic menarik diri.

Juara kejohanan sepanjang dua tahun lalu, Djokovic, menarik diri semalam disebabkan masalah berterusan dengan kecederaan sikunya.

Ketiadaannya adalah berita buruk - dengan menimbulkan keraguan terhadap penyertaannya pada Terbuka Australia pada pertengahan Januari ini - dan juga memberi kesan terhadap kejohanan itu yang reputasinya semakin meningkat sejak beberapa musim sebelum ini.

Bintang Serbia itu menewaskan pemain Britain, Andy Murray tahun lalu, kemudian pemain nombor satu dunia itu menewaskan lawannya dalam aksi final yang mendebarkan di hadapan penonton di Doha termasuklah pemain bola sepak Bayern Munich yang berada di Qatar bagi latihan musim sejuk dan pengerusi Paris Saint-Germain, Nasser al-Khelaifi.

Tahun sebelumnya, Djokovic menundukkan Rafa Nadal di aksi final yang menarik, pemanas badan baginya sebelum merangkul kemahkotaan Terbuka Australia kali keenam beberapa minggu kemudian.

Tahun ini, biarpun barisan pemain yang menyertai saingan di Qatar kurang menarik, tetapi ia bakal memberi peluang kepada bintang baru tenis untuk menonjolkan diri.

Dengan ketiadaan Djokovic, pemain pilihan utama diberikan kepada pemain nombor lima dunia, Dominic Thiem.

Pemain Austria itu mengharungi tahun yang baik sepanjang 2017 apabila melangkah ke separuh akhir Terbuka Perancis sebelum tewas di Paris kepada juara dan juga pemain nombor satu dunia ketika itu, Nadal.

Thiem menyertai Kejohanan Tenis Dunia Mubadala sebagai pemanas badan apabila dia tewas kepada pemenang kejohanan, Kevin Anderson Jumaat lalu.

Thiem, 24 bakal menjadi generasi bintang tenis seterusnya, apabila dia bakal menyertai Grand Slam pertama di Melbourne bulan hadapan.

Disiarkan pada: December 31, 2017 @ 11:56am
d