arena

Wenger berang jadual padat

Oleh AFP

WEST BROMWICH: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap jadual perlawanan Liga Perdana dan mendakwa Chelsea diberi kelebihan menjelang pertemuan kedua-dua pasukan, Rabu ini.

Wenger menyalahkan jadual perlawanan selain mutu pengadilan Liga Perdana selepas pasukannya seri 1-1 di West Bromwich Albion dan beliau turut berang dengan kenyataan yang dikeluarkan legenda Gunners, Thierry Henry.

Wenger memecahkan rekod Sir Alex Ferguson yang sebelum ini mengendalikan 810 perlawanan Liga Perdana tetapi catatan itu belum cukup untuk membolehkan beliau melakar senyum apatah lagi ketika memikirkan perlawanan yang perlu diharungi Arsenal selepas ini.

“Anda tidak boleh memberikan West Brom tempoh selama lima hari untuk menyiapkan diri sebelum mengharungi perlawanan ini sedangkan kami hanya diberikan rehat tiga hari,” kata Wenger.

“Saya sedia bermain setiap hari asalkan lawan kami juga begitu. Ia bukan sesuatu yang normal.

“Untuk menentang Chelsea nanti, kami juga berdepan masalah sama. Mereka bermain semalam, kami bermain hari ini. Justeru, mereka beroleh rehat lebih sehari berbanding kami.”

Penalti pada lewat permainan yang disempurnakan Jay Rodriguez membolehkan West Brom mencatat seri selepas Calum Chambers dipersalahkan kerana memegang bola dan pengurus tuan rumah, Alan Pardew mengaku keputusan itu adalah sangat sukar.

“Ia tidak sepatutnya penalti,” kata Wenger. “Ia bukan sentuhan yang sengaja dibuat.

“Dia (Chambers) tidak mengangkat tangannya. Ketika itu tangannya berada di bawah. Di mana lagi anda mahu meletakkan tangan? Anda tidak mempunyai poket di seluar pendek.

“Pada pendapat saya, pengadil tidak melihat insiden itu. Beliau bagaimanapun akan mendakwa yang insiden itu berlaku di depan matanya. Cuba anda tanya sendiri.

“Saya tidak mahu membuang masa saya, kami perlu menghadapi semua ini. Kami perlu menelan semua kepahitan ini dan mengharungi perlawanan seterusnya.

“Saya marah dan kecewa kerana perkara sebegini sering berulang.

“Saya sudah sering berusaha untuk membolehkan pengadil menjadi lebih profesional. Usaha itu bermula sejak bertahun lalu tetapi saya tidak melihat perubahan. Akhirnya, hanya ada dua negara Eropah yang memiliki pengadil profesional iaitu di Itali dan England tetapi pada masa sama, tidak seorang pun pengadil berbangsa Inggeris dibawa ke Piala Dunia.

“Kita tidak boleh berkata apa-apa ke atas mereka kerana mereka ini tidak boleh disentuh.”

Alexis Sanchez meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-83 menerusi sepakan percuma dan diraikan semua rakan sepasukannya selepas tidak ramai yang berbuat demikian ketika dia menjaringkan gol pada perlawanan menentang Crystal Palace sekali gus mendorong pengulas televisyen, Henry mendakwa wujudnya perpecahan di dalam pasukan.

“Saya tidak akan mendengar apa yang beliau (Henry) katakan,” kata Wenger. “Saya hanya menumpukan perhatian kepada masalah saya sendiri. Ia lebih penting.

“Mereka semua ini dibayar untuk bercakap tidak kira sama ada ia benar atau tidak.”

West Brom masih belum mencatat sebarang kemenangan sejak di bimbing Pardew yang turut bersimpati dengan Wenger berhubung isu penalti pada lewat permainan itu.

“Saya sendiri pasti kecewa jika ia berlaku ke atas kami,” kata Pardew. “Ia satu keputusan yang sukar. Jelas dilihat bahawa bola terkena lengannya dan kita sendiri sebenarnya tidak jelas apakah istilah sebenar bola yang ‘terkena tangan’.

“Saya faham mengapa Arsene marah tetapi kami berhak mendapat keputusan seri ini.

“Kami sudah mengharungi tiga atau empat perlawanan yang sengit. Kami bersaing hebat dengan Arsenal walaupun ia tidak berlaku setiap kali tetapi kami ada juga melancarkan serangan ke atas mereka.

“Ia sesuatu yang menggembirakan saya. Apa yang mahu saya perkatakan ialah kami semakin mantap.”

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 3:20pm
d