arena

Perairan Langkawi kembali 'panas'

Oleh Sukhairi Thani

LEBIH 20 bot dari seluruh dunia bakal ‘menghangatkan’ perairan Langkawi bagi Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2018 dari 8 hingga 13 Januari ini.

Kejuaraan yang memasuki edisi ke-16 itu bakal menampilkan lebih 100 pelayar bertanding merebut gelaran dalam tujuh kelas perlumbaan dipertandingkan iaitu Racing, IRC1, IRC2, Club Cruising, Multihull, Ocean Rover dan White Sail.

Jurumudi termuda tahun lalu, Don Whitcraft yang mengemudi pasukan THA72 juga bakal membuat penampilan tahun ini bagi mengekalkan Trofi Cabaran Perdana Menteri yang diraih musim lalu dalam kelas utama, Racing.

Turut mengekori jejak Whitcraft adalah wakil negara, Vincent Chan (Mata Hari) yang mempunyai misi mempertahankan memburu gelaran keempat berturut-turut dalam kelas IRC1.

“Kami sudah bersedia untuk menyambut kehadiran lebih 100 pelayar tempatan dan juga luar negara bagi merasai pengalaman perlumbaan yang menarik ini,” kata Pengurus Besar Kelab Kapal Layar Diraja Langkawi (RLYC), Tayfun Koksal.

“Regatta ini sudah berkembang menjadi salah satu acara utama dalam kalendar Kapal Layar Asia dan menjadi tumpuan oleh ramai pelayar yang secara aktif bersaing di sirkit kapal layar serantau.

“Kita akan dapat melihat sendiri kehebatan aksi dari pelayar berbakat ini dan saya menjangkakan pertarungan sengit bakal berlaku pada regatta kali ini.”

Regatta yang dianjurkan RLYC ini berjaya menarik penyertaan pasukan antaranya dari Australia, Denmark, Perancis, Jepun, Great Britain, Russia dan Singapura.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 4:24pm
d