arena

Olahraga perlu diberi pendedahan awal

Oleh Mohd Khairie Khalid

PASUKAN olahraga negara perlu diberikan pendedahan lebih awal serta memerlukan kerjasama semua pihak andai mahu terus memastikan sukan ini terus menghasilkan keputusan yang gemilang.

Perangkaan perlu bermula sejak awal tahun ini termasuklah pendedahan dari segi kejohanan berprestij serta perbincangan bersama persatuan, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Pandangan jangka masa panjang itu dilontarkan pengurus pasukan olahraga Malaysia ke Sukan SEA, Datuk Salim Parlan yang dalam masa sama menyeru semua pihak agar melabur dan sanggup berkorban dari semua aspek demi sukan negara.

“Alhamdulillah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sedikit sebanyak mengembalikan kegemilangan sukan olahraga, selain olahraga para yang turut tampil dengan prestasi cemerlang. Ia bukan menjelma dengan mudah sebaliknya memerlukan perancangan rapi serta jangka masa panjang.

“Semua pihak juga perlu bergerak sebagai satu pasukan, jangan sia-siakan momentum yang sudah kita mulakan kerana bukan mudah untuk kembalikan kegemilangan selepas merudum di Singapura,” kata Salim.

Secara peribadi mantan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu menegaskan peluang pasukan negara untuk mendapatkan pingat di Sukan Komanwel dan Sukan Asia agar sukar, jadi tumpuan perlu diberikan ke Sukan SEA di Filipina pada 2019.

“Bagaimanapun atlet utama perlu dihantar ke Sukan Komanwel kerana ia bertaraf dunia, manakala kumpulan atlet Sukan SEA perlu dikenal pasti dari awal tahun ini secara terancang serta didedahkan dengan kejohanan tertentu.

“Selain itu, atlet muda perlu pendedahan di samping latihan yang sistematik di sekolah sukan dan pusat latihan. Semua ini memerlukan perbincangan dan persetujuan bersama antara persatuan, MSN dan ISN.

“Pada masa sama persatuan di peringkat negeri juga perlu menjadi lebih aktif dari semua sudut,” katanya.

Untuk rekod, skuad olahraga negara menamatkan saingan KL2017 dengan lapan pingat emas, lapan perak dan sembilan gangsa berbanding hanya tiga pingat emas yang mampu dikutip di Singapura 2015. Jumlah lapan emas di KL2017 itu menyamai pencapaian pada 2001 (Kuala Lumpur) dan 2003 (Hanoi, Vietnam).

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 6:17pm
d