arena

Mourinho berang Scholes kritik Pogba

Liverpool: Jose Mourinho berang dengan bekas pemain tengah Manchester United, Paul Scholes selepas beliau mengkritik pengurus dan pemain utama pasukan ketika mengulas perlawanan di televisyen.

Scholes menghentam Paul Pogba selepas pemain itu menunjukkan aksi kurang memberangsangkan ketika United seri dengan Southampton sebelum ini.

Tetapi, pemain antarabangsa Perancis itu bangkit mempamer persembahan lebih baik ketika kemenangan 2-0 ke atas Everton pagi tadi sekali gus menamatkan badi tiga kali seri dan meletakkan Red Devils 12 mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Kemenangan itu memberikan ‘ruang’ buat Mourinho untuk kembali membalas kritikan Scholes - pemain yang berada dalam kelompok ‘Kelas 92’ dan muncul antara tunjang kejayaan United sebelum ini.

“Pada pendapat saya, satu-satunya perkara yang dilakukan Paul Scholes ialah mengkritik,” kata Mourinho. “Saya tidak fikir beliau memberikan komen biasa. Pada saya, beliau lebih gemar mengkritik. Kritik dan komen adalah dua perkara berbeza.

“Bukan semua pemain sekarang perlu menjadi hebat sepertinya. Kami tidak perlu mengikutnya.”

Scholes mendakwa Pogba kerap ‘berlakon’ di sepanjang perlawanan dan gagal menepati status sebagai pemain paling mahal di kelab itu.

Tetapi Mourinho pantas menafikan pemainnya dan mendakwa kritikan Scholes lebih menjurus kepada isu cemburu.

“Paul sentiasa cuba memberikan yang terbaik,” katanya. “Ada kalanya dia bermain sangat cemerlang, ada kalanya dia bermain hebat dan ada kalanya tidak begitu baik.

“Ia bukan salah Paul apabila dia menjana pendapatan yang jauh lebih tinggi berbanding Paul Scholes. Ia adalah perkara biasa dalam bola sepak.

“Saya rasa nama Scholes akan tercatat dalam sejarah sebagai pemain hebat tetapi bukan sebagai pengulas bola sepak. Saya lebih suka melihatnya dari sisi pemain yang menyumbang banyak kejayaan kelab yang kini saya wakili.”

Pengurus United itu yang menang di Goodison hasil jaringan Anthony Martial dan Jesse Lingard selepas kedua-duanya menerima hantaran Pogba, turut percaya bahawa Scholes mempunyai keinginan untuk mencuba bidang pengurusan pasukan.

Bekas pemain United itu pernah mendedahkan bahawa permohonannya untuk mengendalikan skuad Bawah 23 Tahun United ditolak pengurusan kelab.

“Jika satu hari nanti Paul mahu menjadi pengurus, saya harap dia dapat mencapai 25 peratus daripada kejayaan saya,” kata Mourinho.

“50 peratus itu adalah 12.5 gelaran, 25 peratus pula sekitar enam gelaran. Jika beliau mampu mencapai 25 peratus, pasti satu kejayaan baginya.”

Mourinho melengkapkan kritikannya dengan menambah bahawa beliau percaya Scholes adalah seorang pemain baik dan melabelnya sebagai ‘antara pemain tengah terhebat pernah disaksikannya’.

“Prestij kelab ini adalah berdasarkan kepada pemain seperti beliau,” katanya.

Scholes adalah bekas pemain terbaru yang tampil mengkritik United sejak dikendalikan Mourinho. Sebelum ini, Ryan Giggs dan Gary Neville turut meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap prestasi pasukan. - AFP

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 1:57pm
d