arena

The Fighters akan kembali ke Liga Super

Oleh Asrol Awang

FELDA United FC akan kembali ke saingan Liga Super musim 2019 selepas diturunkan ke Liga Perdana musim ini.

Keyakinan itu disuarakan pemain tengah, Christie Jayaseelan yang kembali bersama The Fighters musim ini dalam usaha bersaing dalam liga atasan itu.

Katanya, segalanya dilihat cukup lengkap buat skuad kendalian B Sathianathan untuk mencapai misi berkenaan berdasarkan barisan pemain yang disenaraikan musim ini.

“Sejak menjalani latihan bulan lalu, kami semakin serasi biarpun perlu mempertingkatkannya lagi ketika pasukan lain juga melakukan perkara sama.

“Apa yang pasti, misi utama kami adalah untuk ke Liga Super musim 2019 dan pada masa sama, meraih piala berprestij musim ini,” katanya.

Disember lalu, Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysian (FMLLP) menegaskan tidak menganiayai The Fighters selepas disingkirkan ke Liga Perdana musim ini.

Tindakan tidak membenarkan pasukan yang tiada lesen untuk beraksi dalam Liga Super sudah diputuskan lebih awal sebelum ini.

Mengulas prestasi semasa, dia gembira kerana berada dalam keadaan terbaik dan tidak sabar untuk memulakan aksi pertama Liga Perdana musim ini.

Katanya, tahap kecergasan dan mental juga semakin meningkat dan percaya keputusan lebih positif akan dapat dilihat sebelum liga bermula.

“Pada masa sama, bukan saja saya, malah rakan sepasukan begitu bersemangat sepanjang sesi latihan pada pagi dan petang untuk mendapat tahap kecergasan tinggi.

“Dengan kerjasama ini, kami mengharapkan FELDA United FC akan meraih kejayaan membanggakan biarpun bakal menempuhi saingan getir,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 2:52pm
d