arena

Panel pening pilih Pemain Terbaik Afrika

Oleh Reuters

CAPE TOWN: Afrika akan memberi anugerah kepada pemain terbaik benua itu Khamis ini tetapi panel pemilih berdepan kesukaran untuk menobatkan salah seorang daripada tiga calon Pemain Terbaik Tahunan Afrika 2017.

Pierre-Emerick Aubameyang dari Borussia Dortmund dan Gabon bakal bersaing dengan bintang Senegal di Liverpool, Sadio Mane dan rakan sepasukannya dari Mesir, Mohamed Salah. Tidak seorangpun daripada tiga calon berkenaan yang pernah memenangi apa-apa anugerah sejak 12 bulan lalu.

Pemenang akan diumumkan pada majlis anjuran Konfederasi Bolasepak Afrika yang bakal diadakan di Accra, Ghana.

Aubameyang yang juga Pemain Terbaik Tahunan Afrika 2015 dan muncul naib juara di belakang Riyad Mahrez tahun lalu, menamatkan saingan Bundesliga selaku penjaring terbanyak selepas meledak 31 gol.

Dia turut menjaringkan gol kemenangan ketika final Piala Jerman, Mei lalu tetapi ia bukan jaminan untuknya muncul pemenang menerusi undian yang bakal dibuat jurulatih skuad kebangsaan negara Afrika dan beberapa wartawan sukan.

Di peringkat kebangsaan, Aubameyang, 28, tidak begitu menyerlah ketika pusingan akhir Piala Negara-Negara Afrika 2017 dan terlepas banyak aksi pada kempen kelayakan Piala Dunia.

Sementara itu, Mane dan Salah berjaya membantu Senegal dan Mesir layak ke Piala Dunia dan muncul antara pemain yang menyerlah di Liga Perdana Inggeris musim ini.

Salah, 25, dilihat memiliki kelebihan berbanding Mane apatah lagi dia membawa Mesir ke final Piala Negara-Negara Afrika di Libreville, Februari lalu di mana mereka tewas di tangan Cameroon. Selain itu, dia juga kerap menjaringkan gol buat Liverpool.

Mane yang juga berusia 25 tahun, mahu muncul pemain Senegal kedua yang memenangi anugerah berkenaan selepas El Hadji Diouf diangkat selaku pemenang 2001 dan 2002.

Satu-satunya pemain Mesir yang pernah menjulang anugerah itu ialah Mahmoud Al Khatib pada 1983 manakala Aubameyang adalah pemain tunggal dari Gabon yang pernah memenanginya.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 3:00pm
d