arena

Fuad sasar suku akhir

Oleh Mohd Amin Jalil

PEMENANG pingat emas acara tinju Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Muhamad Fuad Mohd Redzuan menetapkan sasaran layak ke suku akhir Kejohanan Sukan Pra-Asian 2018 yang akan berlangsung di Jakarta Indonesia dari 10 hingga 24 Februari ini.

Petinju Negeri Sembilan itu yang kini dalam persiapan menghadapi temasya Sukan Komanwel Gold Coast (GC2018) di Australia, April depan, berkata pihaknya tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi pada kejohanan berkenaan.

Tambahan pula katanya, kejohanan berkenaan hanya sebagai medan persiapan awal sebelum berdepan cabaran getir di Australia nanti.

“Lebih-lebih lagi, saya baharu saja kembali memulakan latihan yang bermula awal Disember 2017 selepas mengharungi tugas mencabar bagi Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu.

“Saya anggap sasaran ke suku akhir adalah realistik kerana kejohanan itu turut disertai petinju berwibawa dan berpengalaman dari beberapa negara Asia dan ianya bukan suatu yang mudah untuk meraih pencapaian yang tinggi.

“Namun, bagi saya penyertaan dalam Kejohanan Pra-Asian tetap penting dan bermakna kerana ia akan dapat mengukur prestasi serta keupayaan semasa, selain dapat melihat persiapan petinju negara lain sebelum menghadapi Sukan Komanwel,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Muhamad Fuad mencatat sejarah apabila merangkul pingat emas kategori light fly 49 kilogram (kg) yang pertama dalam sejarah tinju negara di KL2017 selepas dia menewaskan petinju Thailand, Thani Narinram.

Difahamkan, Kejohanan Sukan Pra-Asian 2018 bakal mempertandingkan acara olahraga, memanah, badminton, tinju, bola sepak, silat, taekwondo dan angkat berat.

Mengulas lanjut mengenai persiapan latihannya ketika ini, Muhamad Fuad yang kini berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), berkata Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) sudah menyusun program latihan

intensif terhadapnya sebagai persiapan menghadapi GC2018.

Menurutnya, setakat ini latihan di bawah bimbingan Azmi Md Yunus itu berjalan lancar dan prestasinya semakin baik, namun dianggap amat mencabar kerana berlatih seorang diri tanpa petinju lain.

“Saya mungkin akan mendapat rakan sepelatih pada Mac depan ketika berlatih di negara luar, namun ketika ini perlu fokus terhadap latihan kerana kemungkinan akan menjadi wakil tunggal bagi acara tinju di Jakarta itu nanti.

“Saya berharap dapat melakukan yang terbaik dan mampu merealisasikan sasaran ditetapkan biarpun tugas itu bukan mudah,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 7:03pm
d