arena

Harimau Kumbang dalam fasa terakhir

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

PASUKAN Pulau Pinang tampil berwajah baharu dalam mengharungi saingan Liga Perdana 2018 yang bakal bermula Februari depan.

Ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan berkata, pembentukan pasukan kini sedang rancak dilakukan dengan beberapa pemain sah dipilih dan mula menjalani latihan di Stadium USM kelmarin.

Beliau berkata, terdapat beberapa pemain senior yang masih dikekalkan antaranya Azidan Sarudin, Mohd Azrul Ahmad, Mohd Faiz Subri, Redzuan Suhaidi, Syukur Saidin dan Yong Kuong Yong.

Katanya, pihak Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) memberi kuasa penuh kepadanya untuk mencari pemain dan membentuk pasukan Harimau Kumbang lebih mantap dari sebelumnya.

“Saya amat berterima kasih di atas kepercayaan diberikan selain turut berbangga apabila bekas pemain JDT dan Melaka United, Mohd Azinee Taib sah kembali beraksi bersama Pulau Pinang.

“Bukan itu sahaja, beberapa pemain dari pasukan lain termasuk Jasazrin Jamaludin (Perak) dan Raimi Md Nor (Selangor) turut sah bersama skuad Harimau Kumbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media khas di Pejabat FAP di sini, semalam.

Hadir sama, Pemegang Amanah FAP , Datuk Abdul Rashid Ismail Naib Presiden FAP, Azizudin Shariff.

Zainal berkata, lima pemain Piala Presiden Pulau Pinang turut tersenarai dalam skuad utama antaranya Hazrull Hafiz Zulkifli, Khairul Akmal Rohisham, Amir Qayyum, K.Thivandaran dan Nurfais Johari.

Beliau berkata, pihaknya turut mengintai beberapa pemain import termasuk dari Korea, Amerika Syarikat dan Itali yang turut mencuba nasib untuk mengisi kekosongan tiga kuota pemain import yang ada.

Katanya, hanya Sanna Nyassi yang dikekalkan dan pihaknya menjangkakan pembentukan keseluruhan pasukan akan siap sepenuhnya selewat-lewat Selasa depan.

“Insya-Allah saya akan berusaha sebaik mungkin untuk Pulau Pinang dapat kembali beraksi semula ke Liga Super pada tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rashid menambah isu pembayaran gaji beberapa pemain yang tertunggak sedang dijelaskan secara berperingkat dan bakal selesai dalam tempoh terdekat.

“Mesyuarat Agong FAP akan diadakan pada 17 Januari depan untuk pemilihan tonggak utama jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden.

“Kita mengharapkan segala masalah yang ditempuhi FAP sebelum ini berjaya diselesaikan dengan adanya kepimpinan baru nanti,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 7:27pm
d