arena

ISN kena saman lagi

Oleh Aida Adilah Mat dan Mohd Khairie Khalid

SELEPAS kes tiga penembak, Institut Sukan Negara (ISN) menerima tamparan baharu apabila sekali lagi diheret ke mahkamah, kali ini oleh pakar psikologi dari United Kingdom, John Kenneth Pates.

Pates selaku plaintif mengemukakan tuntutan saman ke atas ISN di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 27 Oktober lalu dengan mendakwa bekas majikannya itu memberhentikannya pada 9 Ogos 2017 tanpa sebab dan cara yang salah.

“Saya bertindak mengheret ISN ke mahkamah atas alasan melanggar undang-undang buruh dan memecat saya dengan cara yang salah.

“Saya pernah membuat aduan terhadap seorang pengurus dan selepas itu saya mengetahui diberhentikan tanpa sebarang sebab. Ini bukan cara anda melayan seseorang yang meninggalkan keluarga dan negara, kemudian datang ke Malaysia dengan niat yang baik untuk bekerja.

“Pada masa itu mereka berkata tidak ada kerja untuk saya, tetapi iklan kerja dibuat dua hari sebelum pemecatan saya. Sekarang mereka berkata ia disebabkan prestasi yang buruk,” kata Pates ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp.

Pates menegaskan atlet yang berada di bawah kendaliannya sebelum diberhentikan berjaya memenangi lapan pingat emas dan satu perak dari sembilan acara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), sekali gus membuktikan kemampuan sebenarnya.

“Mereka kata prestasi saya buruk tapi pasukan saya memenangi lapan emas dan satu perak dari sembilan acara di Sukan SEA.

“Sudah tentulah ia satu jenaka, fitnah dan pembohongan! Apabila saya membuat keputusan membawa perkara ini ke mahkamah, mereka menyalahkannya dan memfitnah saya dengan mengatakan ia berpunca daripada prestasi buruk.”

Mengulas lanjut, Pates yang sempat berkhidmat 14 bulan, berbanding kontrak sebenar 2 tahun bermula pada 1 Mei 2016 hingga 30 April 2018 mendakwa dia hanya menerima surat terima kasih daripada ISN atas perkhidmatan yang diberikan, namun tidak ada alasan kukuh berhubung penamatan kontrak berkenaan.

Sehubungan itu, dia menuntut ganti rugi khas sebanyak RM239,911.38, ganti rugi am, faedah pada kadar semasa 5 peratus dan setahun daripada tarikh pelanggaran kontrak perjanjian sehingga tarikh penyelesaian penuh, kos dan lain-lain relif yang difikirkan munasabah oleh mahkamah.

Sementara itu, peguam cara plaintif, Sumita Gnanarajah yang berkhidmat di Tetuan Rusmah Arunan & Associates mengesahkan permohonan tuntutan itu.

Terdahulu, tiga penembak - Muslifah Zulkifli, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Nur Suryani Taibi - mengheret ISN ke mahkamah selepas tidak berpuas hati dengan cara pengguguran mereka daripada Program Podium.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 7:53pm
d