arena

City kembali kelebihan 15 mata

Oleh AFP

MANCHESTER: Manchester City pulih dengan pantas selepas 18 deretan kemenangan berturut-turut mereka berakhir, 48 jam lalu dengan menewaskan Watford 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Etihad, sebentar tadi.

Kemenangan sekali gus mengembalikan kelebihan 15 mata City di puncak liga.

Selepas diikat tanpa jaringan oleh Crystal Palace, Isnin lalu, pemain prolifik Raheem Sterling meledak gol pantas dengan penyerang Argentina Sergio Aguero melengkapkan jumlah jaringan bagi membantu City meneruskan kempen tanpa kalah di Eastlands.

Kemenangan tampak sudah dijangka apabila City memperoleh gol pertama seawal 38 saat permainan berlangsung menerusi Sterling yang juga gol terpantas dalam kempen liga musim ini.

Selepas gagal menjaringkan gol di Palace dan memerlukan jaringan lewat ketika bertemu Newcastle, skuad kendalian Pep Guardiola sudah bermain selama 150 minit tanpa menjaringkan gol.

Begitupun, berpunca daripada serangan pertama, hantaran David Silva yang bermula daripada gerakan Leroy Sane di bahagian kiri berjaya menemui Sterling yang tidak dikawal dan mudah disempurnakan pemain kebangsaan England itu.

Ia jelas permulaan sempurna buat City bagi memastikan mereka tidak lagi berada dalam keadaan berduka sejak deretan kemenangan mereka berakhir pada perlawanan terakhir tahun 2017 lalu.

City kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-13 apabila pemain pelawat Christian Kabasele menjaringkan gol ke gawang sendiri juga berpunca daripada gerakan Silva.

Aguero kemudian melengkapkan gol ketiga City pada minit ke-63 selepas menewaskan Heurelho Gomes yang sebelum itu menyelamatkan cubaan Kevin De Bruyne.

Gol sagu hati Watford diperoleh sembilan minit sebelum permainan berakhir menerusi Andre Gray yang berjaya melepasi pertahanan City dan menampan mudah hantaran rendah Andre Carrillo.

Begitupun, ia sudah terlalu lewat buat pelawat yang sebelum itu turut memperoleh dua peluang terbaik untuk merobek gawang City tetapi disia-siakan.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 7:18am
d