arena

Spieth tekad menyinar 2018

Oleh AFP

CAROLINA UTARA: Kejayaan Jordan Spieth muncul juara Terbuka British tahun lalu melonjakkan lagi keyakinan dirinya sekali gus mendorong dia untuk mengetepikan segala cakap-cakap yang cuba merendahkan kemampuannya untuk menjadi antara pemain paling digeruni tahun ini walaupun pada masa sama, Tiger Woods sudah merancang untuk kembali mengaum.

Spieth, 24, yang menjulang gelaran utama ketiganya di Royal Birkdale, sedar bahawa kelibatnya tidak lagi begitu diperhatikan tetapi kemenangan dengan kelebihan tiga pukulan ke atas rakan senegara dari Amerika Syarikat, Matt Kuchar membantunya untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi.

“Kejohanan Terbuka sering memberi kelebihan buat saya. Secara individu, saya sudah sedia untuk menjadi pemain yang digeruni,” kata pemain nombor dua dunia itu di Hawaii menjelang pusingan pertama Kejohanan Juara-Juara.

“Saya yang akan bermain setiap minggu. Saya mungkin gagal dan saya akan terus belajar, saya pasti berjaya. Saya juga mahu kembali menjadi perhatian.

“Sudah tentu terdapat pelbagai kritikan dan mereka yang yang tidak bersetuju dengan apa yang anda lakukan tetapi saya rasa bahawa saya berada pada kedudukan baik untuk memulakan 2018.

“Saya sudah sedia untuk segala-galanya. Saya sedia untuk gagal, berjaya dan apa saja di antaranya.”

Dengan tiga kejuaraan utama serta beberapa penamat selaku lima teratas, Spieth sedar dia akan berdepan cabaran lebih sengit tahun ini terutama daripada pesaing yang berusia lingkungan 20-an seperti Justin Thomas - juara bertahan di Kapalua.

“Bakat baru sudah semakin ramai membabitkan pemain muda dan ditambah dengan pemain dalam usia 30-an, pemain nombor satu dunia DJ (Dustin Johnson),” kata Spieth.

“Ketika ini, persoalan utamanya ialah, apa yang akan berlaku sekiranya Tiger bangkit,” katanya merujuk kepada juara 14 kejohanan utama, Woods yang mengimpikan untuk bermain secara penuh musim ini.

Spieth dan Thomas adalah antara 34 pemain termasuk lima pemain teratas dunia - Johnson, Spieth, Thomas, Jon Rahm dan Hideki Matsuyama yang beraksi di Hawaii minggu ini.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 11:05am
d