arena

Zii Jia, Iskandar lebih berani

Oleh Ferzalfie Fauzi

TIGA perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin sudah pasti akan tersenarai dalam skuad ke Kejohanan Berpasukan Asia (kelayakan Piala Thomas) yang bakal diumumkan Persatuan Badminton Malaysia esok selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatih & Latihan (C&T).

Turut bersetuju dengan pendapat berkenaan ialah bekas pemain perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim dan beliau juga menjangkakan badan induk berkenaan akan menyenaraikan juara remaja Asia, Leong Jun Hao sebagai perseorangan keempat.

“Chong Wei sudah pasti akan tersenarai dan bayangan awal kita melihat Zii Jia juga berpeluang. Sekarang kita tidak tahu siapa pemain ketiga, tapi kita boleh tolak ketepi pemain dari luar BAM seperti Zulfadli Zulkifli, Liew Daren serta Chong Wei Feng,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas bekas pemain nombor satu dunia itu, antara nama yang bermain di fikirannya selepas Chong Wei dan Zii Jia, ialah Iskandar Zulkarnain, Leong Jun Hao, Lim Chi Wing dan Soong Joo Ven.

“Tengok dari segi pengalaman memang Iskandar ada peluang untuk disenaraikan dan selepas itu saya rasa Jun Hao kerana prestasinya lebih baik berbanding Joo Ven dan Chi Wing. Persembahannya di dalam gelanggang juga saya tengok sangat berani walaupun kurang dari segi pengalaman.

“Chi Wing pula tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan tahun lalu sekadar juara kebangsaan tapi tiada kejayaan di luar,” katanya yang pernah beraksi di Piala Thomas dari 1998 hingga 2004.

Roslin juga mengakui tidak sukar untuk membuat ramalan bagi senarai pemain beregu lelaki, di mana Goh V Shem-Tan Wee Kiong sudah pasti akan tersenarai walaupun berdasarkan ranking mereka di bawah gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

“Ikut urutan, Yew Sin-Ee Yi dan diikuti dengan V Shem-Wee Kiong. Seorang lagi pemain simpanan untuk beregu mungkin Chan Peng Soon (beregu campuran) atau antara Chooi Kah Ming, Low Juan Shen, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 6:14pm
d