arena

Pemain dari Sepanyol perkasa Kedah

Oleh Izzali Ismail

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) secara sah mengikat kontrak dua pemain import baharu Alvaro Silva untuk kuota Asia dan Pablo Pallares bagi kuota antarabangsa untuk mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2018.

Kedua-dua pemain import berkenaan yang berasal dari Sepanyol merupakan pilihan ketua jurulatih Ramon Marcote yang sudah memulakan tugas rasmi sebagai pengendali utama pasukan sejak awal Disember tahun lalu.

Majlis menandatangani kedua-dua pemain itu dengan tempoh kontrak selama satu tahun diadakan di pejabat KFA dengan disaksikan oleh Setiausaha Kehormat KFA Datuk Aminudin Omar dan penolong pengurus pasukan Kedah Haris Che Mat.

MenurutAminudin pemilihan kedua-dua pemain itu diharap dapat memperkuatkan jentera skuad Lang Merah untuk menyaingi musim Liga Malaysia yang lebih mencabar tahun hadapan.

“Selama ini kami tertunggu-tunggu siapakah pemain import untuk bersama kita dan akhirnya, Alhamdulillah, kita selesai memuktamadkan dua import Alvaro Silva yang merupakan warganegara Filipina dan Pablo Pallares dari Sepanyol menandatangani kontrak pada hari ini.”

“Apa yang kami harapkan mereka dapat memberi sumbangan yang besar kepada pasukan Kedah pada musim yang akan bermula nanti.”

Kehadiran Pablo Pallares yang memiliki ketinggian 1.90 meter ini menggantikan tempat penyerang Ken Ilso dan Alvaro Silva pula menggantikan posisi pertahanan yang ditiggalkan oleh Zac Anderson.

“Mudah-mudah kehadiran mereka akan memberi semangat baharu di samping berganding dengan pemain sedia ada.”

Aminudin turut memaklumkan ketua jurulatih, Marcote sedang dalam proses mengenal pasti beberapa calon pemain dari Indonesia, Thailand, Vietnam dan Myanmar untuk memilih kuota ASEAN yang merupakan import kelima bagi Kedah.

“Proses pemilihan pemain import kelima Kedah ini sedang berjalan dan dijangka selesai pada pertengahan bulan ini.”

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 6:37pm
d