arena

'ISN seperti baling batu sembunyi tangan'

Oleh Aida Adilah Mat

SEPERTI ada yang tidak kena dengan pengurusan Institut Sukan Negara (ISN) apabila mereka bakal berdepan dengan satu lagi kes saman.

Selepas saman oleh tiga atlet menembak negara dan terbaru daripada pakar psikologi dari United Kingdom, John Pates, dimaklumkan 80 pekerja yang ditamatkan kontrak oleh ISN pada Disember lalu juga bakal melakukan perkara yang sama.

Salah seorang daripada 80 kakitangan itu yang enggan namanya disiarkan, mendedahkan mereka kini dalam fasa terakhir untuk turut membawa kes itu ke mahkamah.

Katanya, ia dilakukan untuk menuntut keadilan dan juga memaklumkan bahawa kepincangan dalam ISN kini sudah menjadi ‘barah’ apabila beberapa individu dalam ISN dilihat mempunyai kepentingan peribadi dan bukannya mahu memajukan sukan negara.

“Saya ditamatkan perkhidmatan atas alasan yang tidak munasabah,” kata mangsa berkenaan. “Pengurusan badan induk sukan itu semakin teruk selepas keluar dari MSN (Majlis Sukan Negara) dan bernaung sendiri.

“ISN sekarang ini bukan seperti ISN di bawah Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz. Dua zaman pentadbiran yang berbeza. Ketika zaman Ramlan beliau akan menjawab semula persoalan tetapi sekarang ini pengurusan utama ISN seperti lebih gemar baling batu sembunyi tangan.”

Bekas kakitangan ISN itu turut mempersoalkan tugas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr Mohd Khairi Zawi yang dilihat lebih suka mendiamkan diri dan membiarkan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Zabidi menjawab semua persoalan.

Katanya, ISN ketika ini sangat teruk kerana mereka hanya lulusan sains sukan sejati dan tiada seorang pun lulusan pengurusan berbanding MSN yang rata-ratanya kelulusan dalam pengurusan sukan.

“Pengurusan ISN sekarang terlalu memikirkan untuk meninggalkan legasi. Legasi apa yang mereka mahu tinggalkan kalau kakitangan sendiri pun mereka tidak boleh nak jaga.

“Mereka ini terlalu leka untuk buat ‘sesuatu’ supaya orang luar nampak usaha yang mereka buat apabila meninggalkan ISN kelak, tanpa memikirkan kesannya. Asyik bercakap akan tinggalkan ‘legasi’ tapi yang jadi mangsa adalah staf apabila banyak duit digunakan di jalan yang tidak sepatutnya,” katanya.

Rentetan kes membabitkan ISN ini mula diperkatakan sejak Oktober lalu apabila tiga penembak terdiri daripada Muslifah Zulkifli, Nur Suryani Taibi dan Nur Ayuni Abdul Halim membawa kes itu ke mahkamah. Ia diikuti dengan Pates.

ISN sekali lagi dipalit kontroversi apabila 80 kakitangannya ditamatkan kontrak perkhidmatan mereka akhir tahun lalu.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 10:12pm
d