arena

Pengorbanan Faiz berbaloi

Oleh Saiful Affendy Sapran

PENGORBANAN kapten TNB, Faiz Helmi Jali turun beraksi menentang Maybank di pusingan kedua Piala Tan Sri P Alagendra hanya sehari selepas menimang cahaya mata pertama nyata berbaloi apabila pasukannya mencatat kemenangan ke atas lawan mereka itu di pusingan 16 hari ini sekali gus mara ke suku akhir esok.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, TNB mencatat kemenangan menerusi penentuan penalti 2-1 selepas kedudukan terikat 1-1 tamat permainan sebenar.

Jelas Faiz, dia serta rakan sepasukannya yang lain sepatutnya mampu mencatat kemenangan pada masa sebenar, namun kegagalan memanfaatkan peluang di depan gawang gol menyaksikan perlawanan terpaksa diheret ke penentuan penalti.

“Jika melihat kepada permainan hari ini, jelas sekali kami lebih menguasai permainan berbanding Maybank.

“Tapi kami gagal mencari gol terutama di suku keempat. Maybank pula hanya menerusi satu percubaan dapat mencipta gol,” katanya.

Faiz bagaimanapun berkata, kemenangan itu tetap memberi makna kepada dirinya selepas isteri, Nur Amirah Abu Samah selamat melahirkan anak perempuan menerusi pembedahan awal pagi semalam.

“Kini tanggungjawab saya lebih besar, bukan sekadar sebagai kapten pasukan saja tetapi bapa kepada seorang anak,” katanya.

Mengulas perlawanan esok bertemu Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Faiz mengakui dia serta rakan sepasukannya bakal melalui satu lagi perlawanan sukar.

“Kami berharap dapat mempamer aksi lebih baik berbanding hari ini dan cuba memberikan saingan sengit kepada KLHC,” katanya.

Muhammad Shahril Saabah meletakkan TNB di depan minit ke-19 selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Bagaimanapun Maybank berjaya menyamakan kedudukan menerusi Mohamad Zulhamizan Awang Abas minit ke-42 hasil gol padang.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 11:57pm
d