arena

Caroline raih tiket suku akhir

Oleh AFP

Auckland: Caroline Wozniacki melangkah ke suku akhir Klasik Auckland WTA semalam, mengisytiharkan dia berpuas hati dengan caranya menyiapkan diri menjelang Terbuka Australia.

Pilihan utama kejohanan dan pemain nombor tiga dunia itu mengambil masa kurang sejam untuk menyingkirkan pemain Croatia, Petra Martic 6-2, 6-2 dengan hanya sedikit kesilapan menyaksikan servisnya dipatahkan pada awal set kedua.

“Saya bekerja keras sepanjang cuti rehat dan ketika ini cuba untuk menyerapkannya dalam permainan saya,” katanya.

“Saya cuba kekal agresif, saya cuba memastikan servis pertama bagus dan masuk. Saya masih melakukan beberapa kesilapan tidak sepatutnya. Perlukan beberapa perlawanan bagi memastikannya 100 peratus bagus tapi saya fikir hari ini bermain amat baik.”

Pilihan kedua Julia Goerges dari Jerman melaungkan amaran dia kekal bersaing dengan kemenangan 6-4, 6-0 ke atas Viktoria Kuzmova dari Slovakia.

Julia akan berdepan pemain Slovenia, Polona Hercog pada suku akhir dan berada di landasan baik untuk bertemu pilihan ketiga Barbora Strycova pada separuh akhir.

Barbora berjumpa Hsieh Su-Wei pada suku akhir selepas sekali lagi merakam kemenangan maraton pada pusingan kedua 6-1, 6-7 (3/7), 6-2 ke atas pemain Sweden, Johanna Larsson.

Caroline bertemu pemain muda Amerika Syarikat berusia 19 tahun, Sofia Kenin, yang menghuni ranking ke-122 dunia.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 9:45am
d