arena

146 atlet bakal terima kemudahan kelas pertama

Oleh Jumiati Rosly

Kuala Lumpur: Memasuki tahun ketiga Program Podium diwujudkan, tahun ini menyaksikan 146 atlet yang tersenarai bakal menerima kemudahan kelas pertama disamping elaun yang ‘mencukupi’.

Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Zabidi berkata, pada tahun ini ISN menambah kemudahan baru iaitu makmal ais di mana atlet yang mengalami kecederaan dapat menjalani pemulihan dalam masa lebih singkat.

“Makmal ais adalah kemudahan terkini yang kami sediakan di mana proses pemulihan dapat dijalankan lebih cepat. Contohnya kecederaan seperti terseliuh kaki.

“Kami akan melihat apa lagi kemudahan dalam dunia ini yang boleh diguna pakai di ISN. Jika dibawah bajet, kami akan membelinya untuk kegunaan atlet,” katanya.

Abdul Azim berkata, kemudahan di ISN adalah yang terbaik di Asia Tenggara dan juga antara yang terbaik di Asia dan perkara itu diakui oleh pengunjung dari luar.

Selain daripada berperanan dalam aspek perubatan dan pemulihan, Abdul Azim berkata, ISN hanya perlu memasukkan aspek pemakanan bagi menjadikan ISN institusi yang lengkap dalam penggunaan sains sukan.

Mengenai elaun atlet, Abdul Azim berkata, elaun yang diberikan kepada atlet adalah ‘mencukupi’ dan bergantung kepada prestasi serta senioriti atlet itu.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 9:48am
d