arena

Peillat permata THT

Oleh Naqib Nor Said

Sepang: Pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia, Gonzalo Peillat tidak mahu terlalu memikirkan label sebagai pemain import menerima gaji tertinggi sebaliknya lebih pentingkan persembahan bersama Terengganu Hockey Team (THT) untuk saingan Liga Perdana TNB 2018.

Peillat yang menjadi tulang belakang kejayaan Argentina memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2016 dikatakan menerima bayaran gaji melebihi AS$20,000 (RM80,500) sepanjang tempoh lima minggu bersama pasukan gergasi Pantai Timur itu.

“Saya tidak begitu memberi penekanan terhadap soal bayaran gaji. Saya hanya mahu memberi yang terbaik dan bermain hoki di tahap terbaik.

“Malah, saya juga mahu cuba memenangi sebanyak mungkin piala dalam tahun pertama saya di Malaysia,” katanya yang tiba bersama dua lagi rakan senegaranya iaitu Pablo Trevisan dan Guido Barreiros.

Ketibaan mereka dijemput ketua jurulatih THT Sarjit Singh di KLIA semalam dan difahamkan mereka akan terus dibawa ke Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi menonton aksi Piala Tan Sri P Alagendra yang sedang berlangsung.

Walaupun ia bukan kali pertama THT menggunakan khidmat import dari Argentina tetapi kehadiran Peillat yang berstatus bintang hoki paling laris di dunia pasti mampu melonjak semangat THT selain menghadirkan gerun buat lawan mereka.

Malah, timbul persoalan mengapa penjaring terbanyak Piala Dunia 2014 dan Sukan Olimpik 2016 itu sanggup ‘turun’ ke Malaysia ketika banyak lagi pasukan kelab di negara lain mahukan khidmatnya.

Namun Peillat mempunyai alasan sendiri: “Saya sebenarnya memilih datang ke Malaysia selepas diyakinkan oleh Pablo Trevisan yang sudah empat musim beraksi dalam Liga Hoki Malaysia.

“Dia yang ajak saya pada mulanya dan keputusan untuk ke THT saya sudah putuskan sebulan lalu dan hari ini kami tiba jua ke Malaysia.”

Difahamkan, Peillat menerima bayaran gaji tertinggi ketika penjaga gol UniKL dari Ireland, David Harte dan pertahanan Belanda, Sander de Vijn kedua tertinggi dengan AS$12,000 (RM48,000).

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 9:56am
d