arena

Cukuplah sandiwara FAP

Oleh Rodly Fadly

“SAYA rasa mereka sudah tahu apa yang patut dilakukan.” Demikian reaksi Reinaldo Lobo kepada kenyataan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) berhubung tindakannya memanjangkan isu tuntutan gaji yang tertunggak kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Sehingga sekarang tiada sesiapa dari FAP menghubungi saya. Jadi, saya hanya tunggu dan lihat apa kesudahannya,” kata pemain itu.

Semalam, pemegang amanah FAP, Datuk Abdul Rashid Ismail menyatakan bahawa pihaknya tidak tahu sama sekali isu tunggakan gaji selama enam bulan seperti didakwa Lobo kerana pemain itu tidak pernah berhubung dengan mereka.

Menurutnya, pengurusan FAP menjadi tidak terurus selepas presiden, timbalan presiden dan naib presiden meletakkan jawatan sejak beberapa bulan lalu.

Namun, beliau berjanji akan mengkaji dakwaan itu serta berharap sebarang isu berbangkit berhubung tunggakan gaji pemain dapat diselesaikan selepas pentadbiran baru FAP dilantik pada mesyuarat agung, 17 Januari nanti.

Tanpa mahu mengulas lebih panjang, Lobo sekali lagi menegaskan dia sudah memberi masa yang mencukupi kepada FAP untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Tindakan membuat laporan kepada FIFA, menurut Lobo, adalah jalan terakhir untuk mendapatkan haknya.

Selain itu, dia turut membuat tuntutan melalui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pemain kelahiran Brazil itu menyertai Pulau Pinang pada musim 2015, membantu pasukan berkenaan naik ke Liga Super 2016. Namun, kecederaan serius memaksa dia direhatkan pada pertengahan musim lalu tanpa ditamatkan kontrak yang hanya berakhir pada 30 November lalu.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 1:24pm
d