arena

Do-Heon kapten baru Hobin Jang Hobin

Oleh Mohd Amin Jalil

KAPTEN baharu Negeri Sembilan, Kim Do-Heon sedia menggalas tugas berat dan mencabar disandarkan padanya biarpun kali pertama bersama skuad berkenaan mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan membuka tirainya, 3 Februari ini.

Bekas pemain utama skuad Piala Dunia 2006 Korea Selatan berusia 35 tahun itu mengakui terkejut dengan pelantikan berkenaan, namun yakin dia akan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab berkenaan dengan baik.

“Saya terkejut apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan melantik saya sebagai kapten walaupun saya baharu saja di sini, namun saya akan berusaha melaksanakan tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin untuk menjulang nama pasukan ini.

“Saya juga yakin tidak akan menghadapi masalah terutama dalam aspek komunikasi dengan rakan lain dalam usaha membentuk gandingan mantap kerana mereka sudah berpengalaman dan percaya impian serta sasaran ditetapkan pihak pengurusan musim ini boleh dicapai,” katanya di sini, hari ini.

Berdasarkan pengalaman luasnya di pentas antarabangsa, Do-Heon antara nadi utama kekuatan Negeri Sembilan yang kembali bersaing dalam Liga Super musim ini, selepas bergelut dalam Liga Perdana selama empat musim berturut-turut sejak 2014.

Selain Do-Heon, empat lagi pemain import melengkapkan kuota ditetapkan ialah pertahanan Madhu Mohana (Singapura), penyerang Nicolas Velez (Argentina), pemain tengah, Flavio Beck Junior (Brazil) dan seorang lagi pemain penyerang dari Latvia yang belum diumumkan.

Mengulas lanjut mengenai keputusannya bersama skuad Hobin Jang Hobin, bekas pemain Seongnam FC itu yang beraksi di posisi tengah berkata, kemudahan pendidikan dan fasiliti lain di sini, menarik minatnya.

“Kemudahan yang ada di negeri ini serba lengkap terutama pendidikan dengan kewujudan sekolah antarabangsa yang akan memudahkan kedua-dua anak saya mendapatkan pendidikan sempurna.

“Situasi itu akan membantu saya untuk terus fokus kepada latihan bola sepak dan persiapan pasukan bagi membantu Negeri Sembilan merealisasikan kejayaan musim ini,” katanya.

Do-Heon yang pernah menerima gelaran Paul Scholes Asia susulan kemahirannya membaca sesuatu perlawanan, tekad mahu memastikan pasukan itu meraih kejayaan.

“Seperti sasaran ditetapkan pengurusan pasukan untuk merangkul sekurang-kurangnya satu piala, saya yakin dan percaya ia bukan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan jika semua pemain memberikan persembahan dan komitmen terbaik sepanjang musim ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 6:01pm
d