arena

'Maaf tiada komen'

Oleh Azlan Muhammad Zain

PENGERUSI Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi memilih untuk berdiam diri susulan ancaman 80 pekerja yang ditamatkan kontrak mahu mengheret badan induk itu ke mahkamah.

Menerusi laporan Sukan Team NSTP semalam, salah seorang daripada 80 kakitangan mendedahkan mereka dalam fasa akhir untuk mengheret ISN ke mahkamah apabila ditamatkan kontrak bulan lalu tanpa alasan kukuh.

Abdul Azim menerusi aplikasi WhatsApp menjelaskan beliau tidak mahu mengulas mengenainya.

“Minta maaf, buat masa ini, kami tiada komen.

“Tunggu sehari dua lagi. Maaf sekali lagi,” katanya.

ISN yang mengendalikan program elit negara, Program Podium menjadi tumpuan Oktober lalu apabila tiga penembak - Nur Ayuni Abdul Halim, Nur Suryani Taibi dan Muslifah Zulkifli - membawa kes pengguguran mereka ke mahkamah.

Malah, pakar psikologi dari United Kingdom, John Pates mengemukakan tuntutan saman ke atas ISN di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 27 Oktober lalu dengan mendakwa bekas majikannya itu memberhentikannya pada 9 Ogos 2017 tanpa sebab dan cara yang salah.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 9:22pm
d