arena

Faizal lebih menyerlah banding Peillat

Oleh Saiful Affendy Sapran

PENYERANG sensasi, Faizal Saari menenggelamkan pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia, Gonzalo Peillat apabila meledak lima gol ketika membantu Terengganu Hockey Team (THT) membelasah UiTM-KPT 9-0 dalam aksi suku akhir Piala Tan Sri P Alagendra, hari ini.

Faizal ketika ditemui selepas tamat perlawanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu mengakui ia adalah antara prestasi terbaiknya, tetapi pada masa sama tidak menafikan kemampuan Peillat meskipun rakan sepasukannya itu beraksi hambar.

“Saya memang tak sangka dapat jaringkan lima gol tetapi saya cuba memanfaatkan segala peluang dengan sebaik-baiknya.

“Apapun, saya memang teruja untuk turun beraksi hari ini kerana dapat bergandingan dengan Peillat yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik.

“Harap banyak lagi yang akan dapat saya belajar daripadanya selepas ini.

“Dia (Peillat) baru tiba di sini semalam. Jadi mungkin dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan,” katanya.

Faizal meledak lima gol bermula jaringan padang minit ke-24 dan 34 sebelum menambah lagi tiga gol menerusi pukulan sudut penalti minit ke-49, 53 dan 55.

Peillat pula yang sedang mencari rentak permainannya hanya mampu menjaringkan dua gol hasil pukulan sudut penalti minit ke-45 dan 60.

Bintang Argentina itu mensia-siakan tiga peluang menerusi pukulan sudut penalti untuk menambah gol.

Dua lagi gol disumbangkan oleh Barreiros Lopez minit ke-6 dan Muhammad Sufi Ismat Rohulamin minit ke-14 sekali gus membolehkan THT melangkah bergaya ke separuh akhir, Sabtu ini.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 9:54pm
d