arena

Tekad buru tiket Sukan Asia

Oleh Haika Khazi

BIARPUN masih dihantui masalah kecederaan, pelumba basikal negara, Noor Quraataina Mamat tetap gigih berlatih demi mengejar impiannya beraksi dalam acara BMX di Sukan Asia Jakarta, Indonesia, Ogos nanti.

Ketika ini Quraataina terpaksa menukar corak latihannya daripada basikal lasak BMX kepada berkayuh di jalan raya sekitar Dungun, Terengganu bagi mengekalkan kecergasan fizikal dan mentalnya.

Pemenang pingat gangsa acara BMX di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu terpaksa berbuat demikian selepas kecederaan lamanya berulang kembali ketika menjalani latihan bersama pasukan basikal lasak Terengganu di Taman Cabaran Presint 20, Putrajaya, akhir bulan lalu.

“Saya berharap kecederaan dialami sebelum ini cepat sembuh bagi membolehkan saya menjalani latihan seperti biasa sebagai persiapan untuk pusingan kelayakan ke Sukan Asia 2018 nanti.

“Ini penting kerana saya berharap dapat beraksi dan menghadiahkan sebutir pingat kepada kontinjen Malaysia di temasya Sukan Asia 2018,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Pada temasya KL2017 lalu, Quraataina meraih gangsa dengan atlet Indonesia, Elga Kharisma Novanda memenangi emas dan perak menjadi milik atlet Thailand, Chutikan Kitwanitsathian.

Justeru, Quraataina meletakkan sasaran sekurang-kurangnya layak ke final sekiranya dia sekali lagi dipilih mewakili Malaysia dalam acara kegemarannya itu di Sukan Asia Jakarta 2018 dan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 10:33pm
d