arena

Kejutan Kampung Bahagia

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Kampung Bahagia (gambar), Setiu mencipta kejutan apabila muncul juara menewaskan Kampung Bukit Dreba 1-0 pada kejohanan bola sepak 9 sebelah Piala Monsun, baru-baru ini.

Pemain lincah Kampung Bahagia, Muslim Saipuddin muncul wira pasukannya apabila rembatan kencangnya gagal ditepis penjaga gol lawan untuk gol tunggal perlawanan pertandingan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Bahagia.

Pada separuh akhir Kampung Bahagia tidak menghadapi masalah apabila mudah menundukkan Kampung Alor Serdang 2-0 manakala Kampung Bukit Dreba menumpaskan Kampung Bintang juga 2-0.

Pengerusi pertandingan Mat Rawi Dollah berkata, kejohanan itu berjaya menarik minat golongan muda dan veteran.

“Matlamat utama kejohanan itu adalah untuk memupuk semangat muhibah dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara penduduk kampung.

“Selain itu dengan bersukan ia bukan saja mampu menyihatkan tubuh badan tapi lebih penting dapat mengajak golongan muda untuk melakukan aktiviti berfaedah.

“Bagi saya inilah salah satu medan terbaik buat masyarakat untuk membantu golongan muda daripada terbabit dengan aktiviti tidak sihat seperti penagihan dadah yang kini begitu membimbangkan,” kata Mat Rawi.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 8:10am
d