arena

Spurs lega ada Heung-Min

Oleh AFP

LONDON: Jaringan menarik Son Heung-Min membolehkan Tottenham Hotspur seri 1-1 menentang West Ham di Stadium Wembley, awal pagi tadi. Pemain tengah West Ham Pedro Obiang meletakkan pelawat mendahului pada minit ke-70 menerusi rembatan kencang dari jarak 30 ela .

Bagaimanapun bintang Korea Selatan, Son turut mencuri tumpuan penonton tujuh minit sebelum tamat permainan apabila menjaringkan gol menerusi rembatan deras dari jarak 25 ela untuk gol keenamnya dalam sembilan perlawanan terakhir.

Kedua-dua jaringan itu boleh dianggap antara yang tercantik di Wembley sejak stadium itu diubahsuai.

Keputusan seri itu tidak sepatutnya buat tuan rumah yang menguasai keseluruhan permainan dengan melakukan 31 percubaan namun ketumpulan jentera serangan menghampakan penyokong.

Sementara itu, Son mengakui jaringan Obiang sukar diselamatkan penjaga gol Spurs.

“Jaringan Obiang memang menarik. Kami mempunyai penjaga gol terbaik dunia tetapi tak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan gawang.

“Jaringan saya tak penting, sama ada gol menarik atau tidak. Kami agak kecewa dan tidak gembira dengan keputusan perlawanan. Kami sepatutnya dapat tiga mata. Cuma nasib tak sebelahi kami,” katanya.

Obiang pula enggan mendabik dada di atas jaringannya itu, satu-satunya percubaan tepat West Ham sepanjang perlawanan.

“Saya nampak ada ruang dan tuah bersama saya. Kami bekerja keras dan kami sangat letih,” katanya.

Skuad Mauricio Pochettino kekal di tangga kelima, tiga mata di belakang pasukan di tangga keempat Liverpool yang kini bersaing hebat untuk layak ke Liga Juara-Juara.

West Ham pula dua mata di atas zon penyingkiran selepas tidak kalah dalam tiga perlawanan terakhir mereka. - AFP

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 10:05am
d