arena

Salah, Mane pemain terbaik Afrika

Oleh AFP

ACCRA: Bintang Liverpool dan Mesir Mohamed Salah hanya mengambil masa tiga tahun untuk melakukan transformasi daripada pemain buangan Chelsea kepada Pemain Tahunan Terbaik Afrika di Ghana awal pagi tadi.

Salah gagal menyerlah sebaik berpindah dari kelab Switzerland ke Stamford Bridge sebelum dipinjamkan ke kelab Serie A Fiorentina dan AS Roma, kemudiannya dijual kepada Roma.

Di Roma, kariernya mula berkembang apabila meledak 29 gol dalam tempoh dua musim dan membantu 17 jaringan untuk memukau skuad peninjau Liga Perdana Inggeris.

Liverpool berjaya mendapatkannya dengan bayaran £34.3 juta (RM186 juta) dan Salah tidak lagi menoleh ke belakang, menjaringkan 23 gol dalam 29 perlawanan semua kejohanan yang disertai.

Dia sentiasa menjaringkan dua gol dalam perlawanan dan kali terakhir, membantu Liverpool bangkit untuk menewaskan Leicester 2-1 bulan lalu.

Daripada gol sumbangannya, 17 adalah untuk Liga Perdana Inggeris, meletakkannya di tangga kedua di belakang pemain Tottenham Hotspur Harry Kane sebagai penjaring terbanyak musim ini.

Selain aksi cemerlang bersama Liverpool, tahun lalu Salah turut membantu Mesir muncul naib juara Piala Negara Afrika dan melangkah ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1990.

Rakan sepasukan Salah di Liverpool Sadio Mane, dari Senegal, muncul pemain kedua terbaik Afrika manakala pemenang 2015 iaitu penyerang Gabon dan Borussia Dortmund Pierre-Emerick Aubameyang di tempat ketiga selepas senarai 30 pemain dikurangkan kepada tiga pemain terbaik.

“Memenangi anugerah ini adalah impian menjadi kenyataan. Tahun 2017 cukup luar biasa bagi saya dan saat yang menakjubkan bersama pasukan kebangsaan,” kata Salah selepas menerima anugerah berkenaan.

“Ini adalah anugerah terhebat bagi saya, detik istimewa sepanjang karier. Saya ingin mendedikasikannya untuk semua kanak-kanak di Afrika dan Mesir.

“Saya mahu memberitahu mereka usah berhenti daripada mempunyai impian dan terus memiliki keyakinan.”

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 10:13am
d