arena

Woods teruja beraksi kembali

Oleh AFP

LOS ANGELES: Bekas bintang golf nombor satu dunia Tiger Woods bakal menyertai kejohanan pertamanya dalam Jelajah PGA Amerika Syarikat dalam tempoh tiga minggu di Torrey Pines dan di Riviera tiga minggu kemudian.

Woods, juara kejohanan utama 14 kali itu membuat kemunculan semula selepas mengalami kecederaan belakang akan memulakan kempen 2018 dari 25 hingga 28 Januari pada kejohanan Terbuka Farmers Insurance Torrey Pines, di mana dia menjuarai tujuh gelaran PGA di sana dan Terbuka AS 2008, iaitu kejuaraan terakhirnya.

Woods turut berkata dia akan bertanding di Terbuka Genesis di Riviera, Los Angeles, iaitu penampilan pertamanya di sana sejak 2006.

Woods akan bertindak sebagai tuan rumah kejohanan yang akan menyumbang kepada yayasan kebajikannya.

“Saya teruja untuk memulakan musim ini di @FarmersInsOpen dan @genesisopen,” kata Woods menerusi Twitter.

Acara yang akan diadakan di Riviera pada 15 hingga 18 Februari adalah lapangan sama di mana Woods beraksi dalam kejohanan PGA pertamanya pada 1992, sebagai pemain amatur dengan pengecualian penaja.

“Saya teruja dapat kembali ke Riviera,” kara Woods. “Sudah lama saya tidak beraksi dalam kejohanan di Riviera. Beraksi dalam kejohanan yang pernah saya bermain sebagai pemain amatur, pemain remaja dan kini sebagai tuan rumah, di lapangan yang disifatkan bersejarah dalam dunia golf, ia bagaikan impian menjadi nyata.”

Woods yang memiliki 79 gelaran PGA AS, kurang tiga berbanding rekod sepanjang zaman milik Sam Snead, menjulang kejuaraan PGA di Torrey Pines pada 1999, 2003, 2005, 2006, 2007, 2008 dan 2013.

“Tiger menempa sejarah yang banyak di Torrey Pines,” kata pengarah kejohanan Peter Ripa. “Kami teruja menyambut kedatangannya dalam kejohanan ini sekali lagi.”

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 10:19am
d