arena

City anggap jadual padat bukan alasan

Oleh AFP

MANCHESTER: Pemain Manchester City nampaknya tidak berkongsi kebimbangan pengurus mereka Pep Guardiola berhubung jadual padat ketika mereka bersiap sedia menanti kunjungan Burnley pada pusingan ketiga Piala FA malam esok.

Guardiola bimbang City tidak mampu menangani kesemua perlawanan dalam misi mereka memburu empat kejuaraan.

Pasukannya beraksi dalam sembilan perlawanan sepanjang Disember dan berdepan sekurang-kurangnya tujuh perlawanan pada Januari dan jika mereka mara ke final Liga Juara-Juara, Piala FA dan Piala Liga, mereka akan menempuhi sekurang-kurangnya 63 perlawanan pada akhir musim.

Guardiola berkata selepas menang ke atas Watford 3-1 Selasa lalu, iaitu keputusan yang mengekalkan 15 mata buat City di puncak Liga Perdana, jadual padat musim Krismas dan Tahun Baru ‘akan membunuh pemain’.

Bagaimanapun pemain tengah Fernandinho dan penjaga gol Ederson masing-masing mengakui gembira dapat bermain begitu banyak perlawanan dan sedia menentang Burnley hujung minggu ini, biarpun pengurus mereks sedia menggilirkan pemain bagi memastikan pemain seniornya kekal cergas.

“Saya menghabiskan Tahun Baru di rumah bersama anak dan isteri dan tetap cergas,” kata Fernandinho.

“Kita lihat apa yang akan dilakukan Pep tetapi sudah pasti setiap pemain akan bersedia jika beliau memerlukan mereka.

“Kami di sini, kami profesional dan saya tidak mahu berehat.”

Ederson hampir pasti digantikan dengan Claudio Bravo, yang diturunkan dalam semua aksi Piala Liga musim ini tetapi penjaga gol Brazil itu menegaskan dia juga sudah bersedia menyahut cabaran.

“Semua pemain mahu diturunkan, jadi ia sesuatu yang hebat jika ada banyak perlawanan. Malah pasukan juga beraksi cemerlang.

“Kami menikmati bulan cemerlang pada Disember, kami bermain dengan baik dan mencapai keputusan baik. Kami benar-benar gembira.”

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 10:27am
d