arena

Usah tersalah langkah lagi Harimau Kumbang...

Oleh Rodly Fadly

“JANGAN salah pilih lagi”. Begitu pesanan Datuk Shukor Salleh kepada pengendali Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan yang sedang meninjau tenaga import untuk memperkuatkan pasukan itu musim ini.

Shukor berkata Zainal perlu mengelak daripada melakukan kesilapan musim lalu apabila memilih import yang tidak berkualiti.

Akibatnya, Pulau Pinang gagal memberi saingan sehingga kembali ke Liga Perdana musim ini selepas hanya dua tahun beraksi dalam Liga Super.

“Antara faktor utama kejatuhan Pulau Pinang adalah kerana mereka membeli pemain import yang tidak berkualiti. Saya harap ia tidak berulang kali ini.

“Zainal perlu teliti membuat pilihan, jangan main tangkap muat. Kalau boleh, sebelum menandatangani seseorang pemain, elok diuji dalam beberapa perlawanan persahabatan untuk menilai prestasi mereka.

“Ini kerana pada masa lalu pemilihan pemain hanya dilakukan berdasarkan rekod lampau atau menilai persembahan melalui video yang disediakan ejen.

“Kadang-kadang, tengok di video memang hebat tapi bila datang mereka rupanya tidak cergas atau baru pulih daripada kecederaan, baru beraksi setengah musim sudah kena hantar balik,” ujar bekas pemain kebangsaan itu.

Keadaan itu menurut Shukor secara tidak langsung turut mencetuskan bebanan kewangan kepada pasukan apabila pemain import yang ditamatkan kontrak lebih awal terpaksa dibayar pampasan.

Masalah berkenaan kemudian berjangkit apabila kekangan kewangan menyebabkan pula gaji pemain tertunggak seperti dialami musim lalu.

“Saya difahamkan FAP (Persatuan Bolasepak Pulau Pinang) masih ‘sangkut’ dua bulan gaji dengan pemain musim lalu. Perkara ini perlu diselesaikan segera sebelum bermula musim baru kerana jika dibiarkan akan menjejaskan moral pemain yang masih kekal,” kata Shukor.

Zainal dilaporkan sedang menguji pemain dari Korea Selatan, Ko Jae Sung untuk mengisi salah satu slot import.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 10:35am
d