arena

Marcote harap Mat Don kekal

Oleh Syafiq Aznan

PENGENDALI Kedah, Ramon Marcote begitu mengharapkan agar pemain tengah importnya, Liridon Krasniqi yang mesra disapa ‘Mat Don’ dapat terus kekal menyarung jersi skuad Helang Merah pada musim hadapan.

Ketika khabar angin bertiup kencang menyatakan pemain kelahiran Kosovo itu bakal mengangkat kaki, bekas penyelia metodologi Atletico Madrid itu mengakui pemain berusia 26 tahun itu memainkan watak penting bagi membantu pasukan mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim baharu nanti.

“Secara jujurnya, saya masih memerlukan khidmat Liridon kerana kehadirannya akan terus menguatkan pasukan ini seperti beberapa musim sebelum ini.

“Namun, sebagai jurulatih saya memahami keinginan pemain apabila mendapat peluang untuk beraksi dalam salah satu liga terbaik di dunia dan ruang dalam memajukan lagi karier bola sepaknya.

“Saya akan menyokong apa sahaja keputusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berhubung perkara ini tetapi buat masa ini dia masih pemain Kedah. Jadi saya mengharapkan keadaan itu akan terus berkekalan pada musim hadapan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada masa sama, Marcote mengakui dia perlu bersedia untuk kehilangan khidmat perancang tengah terbabit dan tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan ‘Pelan B’ bagi mengisi kekosongan terbabit.

“Kita akan cuba menyelesaikan masalah ini jika benar Liridon membuat keputusan meninggalkan pasukan walaupun perkara sebegini adalah di luar jangkaan saya,” katanya.

Terdahulu, peminat pasukan Kedah terkejut apabila sebuah portal berita di luar negara mendakwa pemain yang lebih mesra dengan panggilan ‘Mat Don’ itu bakal menerima tawaran dari kelab Angers di Perancis.

Menurut maklumat yang diperoleh dari laman web telegrafi.com, pemain tengah Kedah itu akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin kelab berkenaan di Perancis bersama ejennya dalam masa terdekat ini.

Kelab Perancis itu dilihat serius untuk mendapatkan khidmat Liridon apabila dilaporkan sanggup membayar yuran perpindahan kira kira STG500,000 (RM2.4 juta) kepada Kedah bagi membolehkan pemain itu beraksi di Ligue 1.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 12:22pm
d