arena

-2 Celsius lawan utama B-23

Oleh Daripada Aziman Rosdi di Nanjing

BUKAN hanya bakal berdepan 11 pemain lawan malah skuad bawah 23 tahun negara (B-23) perlu mengatasi cuaca sejuk dengan suhu -2 apabila turun beraksi menentang Syria pada perlawanan persahabatan di Stadium Pusat Latihan Jiangsu, Nanjing, petang ini.

Bagi penyerang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, dia mengharapkan keputusan positif dalam perlawanan itu buat pencetus semangat menjelang Kejohanan AFC B-23 di Changshu, Rabu depan.

“Alhamdulilah persiapan berjalan lancar, cuaca sejuk lebih kurang sama di Korea Selatan, harap kita buat yang terbaik berdepan Syria,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pertemuan dengan Syria adalah aksi pemanas badan terakhir skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee sebelum berdepan Iraq, Jordan dan Arab Saudi dalam saingan Kumpulan C, Kejohanan AFC B-23.

Skuad negara seramai 23 pemain sudah enam hari berkampung di Nanjing dan dua minggu di Mokpo, Korea Selatan sebelum ini bagi melakukan persiapan.

Dalam tiga aksi persahabatan menentang kelab tempatan di Mokpo menyaksikan mereka seri 1-1 dengan Mokpo City FC, menewaskan Honam University 1-0 dan seri 1-1 dengan Jeonju Citizen FC namun Hadi gagal menjaringkan sebarang gol dalam perlawanan itu.

“Saya tak menjaringkan gol cuma dapat ‘assist’ (cipta gerakan) dua gol, memang kalau diberi peluang beraksi, saya mahu menjaringkan gol untuk pasukan.

“Banyak yang saya belajar bersama pasukan ini, jurulatih (Kim Swee) banyak beri tunjuk ajar untuk menjadi penyerang lebih baik,” kata pemain berusia 18 tahun itu yang kini mewakili Johor Darul Ta’zim II.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 12:31pm
d