arena

Ghairah sertai maraton

Oleh Firdaus Hashim

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) disaran menyediakan satu garis panduan berkenaan larangan atlet jarak jauh dan sederhana daripada menyertai larian terbuka maraton yang boleh menjejaskan tumpuan.

Bekas jaguh jarak jauh dan sederhana negara, Mohd Jironi Riduan berkata, kemerosotan prestasi atlet kebangsaan dalam acara itu sejak beberapa tahun lalu disebabkan keghairahan atlet bersaing dalam larian maraton hingga menjejaskan matlamat mereka dipilih menyertai kem negara.

“Memang betul ada atlet di bawah program MSN (Majlis Sukan Negara) dan KOM yang suka menyertai larian maraton pada hujung minggu kerana menawarkan hadiah kemenangan cukup lumayan.

“Apabila mereka menyertai larian itu sehingga 10 ke 20 kilometer, mereka memerlukan masa yang agak panjang untuk ‘recovery’ semula sedangkan latihan di bawah program juga perlu diteruskan setiap hari.

“Jadi, itu sudah tentu mengganggu fokus atlet dan sebab itu juga mungkin mengapa kita tidak dapat melahirkan atlet jarak jauh dan sederhana yang baik ketika ini.

“Saya harap KOM dapat keluarkan satu garis panduan kepada atlet agar mereka sedar akan tanggungjawab apabila sudah berada di dalam program,” kata pemenang dua pingat emas acara 800 meter dan 1,500 meter di temasya Sukan SEA Myanmar 2013 lalu.

Menerusi laporan sebelum ini, bekas raja pecut Asia Tenggara Nazmizan Muhammad menaruh harapan tinggi agar KOM segera mengubah nasib acara jarak jauh dan sederhana yang semakin tenggelam sejak era kegemilangan M Ramachandran dan P Jayanthi di era 80-an dan 90-an dulu.

Malah, Nazmizan turut mengakui lambakan pertandingan larian maraton di seluruh negara juga menyumbang kepada kemerosotan acara jarak jauh dan sederhana apabila ramai atlet memilih untuk memberi tumpuan kepada saingan yang menjanjikan hadiah lumayan itu.

Justeru, beliau mahu KOM segera mengubah dengan turut menawarkan hadiah lumayan dalam setiap sirkit terbuka kebangsaan bagi memupuk minta kepada atlet negara.

“KOM ketika ini cukup cemerlang menerusi keputusan memberangsangkan dalam acara pecut dan juga padang. Mereka sudah melakukan yang terbaik untuk mengembalikan semula penguasaan kita dan ianya terbukti pada Sukan SEA di Kuala Lumpur lalu apabila acara 100 meter lelaki kembali menjadi milik Malaysia.

“Saya percaya KOM sedang cuba merangka pula strategi untuk menaikkan acara jarak jauh dan sederhana. Apapun, kita perlu beri masa dan berharap ianya akan berjaya pada Sukan SEA di Filipina nanti,” kata Jironi yang kini berkhidmat sebagai guru di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Johor.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 1:53pm
d