arena

PSM tekad kembalikan takraw dalam SUKMA

Oleh Haika Khazi

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) kini memberikan sepenuh perhatian terhadap usaha memastikan acara sepak takraw kembali dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 nanti.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail menegaskan, azam dan misi utama PSM pada tahun ini adalah memastikan sukan tradisional Melayu itu kembali dipertandingkan pada temasya tahunan berkenaan.

“Tindakan ini perlu kerana kemasukan semula acara sepak takraw ke dalam SUKMA adalah lebih penting berbanding perkara-perkara lain.

“Kita juga akan fokus dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan Malaysia mampu menang emas dalam acara sepak takraw di Sukan Asia 2018,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini isu pengguguran sepak takraw bersama angkat berat dan taekwondo daripada senarai program sukan teras Majlis Sukan Negara (MSN) seperti diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, pada pertengahan bulan lalu.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN di ibu negara menyebabkan kesemua tiga acara berkenaan tidak dipertandingkan pada temasya SUKMA 2018 di Perak.

Antara alasan penggugurannya adalah kerana tidak menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan sejak berada di dalam program itu.

Bagaimanapun, pengguguran acara sepak takraw itu menimbulkan rasa tidak puas hati dan bantahan pelbagai pihak kerana disifatkan satu pembaziran apabila jutaan ringgit duit rakyat sudah dikeluarkan persatuan negeri untuk persiapan atlet dan pasukan masing-masing bagi menyertai temasya berkenaan.

Susulan itu PSM dan ahli gabungannya perlu bersatu mencari jalan penyelesaian terbaik sekiranya sukan itu kekal tiada dalam senarai bermula SUKMA 2018 nanti.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 5:49pm
d