arena

Aira ketuai cabaran negara di Terbuka Remaja British

Oleh Devinder Singh

Kuala Lumpur: Aira Azman melakar kejutan terbesar untuk menerajui persembahan mantap pemain-pemain negara dalam aksi suku akhir Terbuka Remaja British di Birmingham, kelmarin.

Juara remaja Asia bawah 13 tahun itu menyingkirkan pilihan utama kejohanan Nour Khaled Aboulmakarim dari Mesir 5-11, 11-0, 11-7, 11-8 untuk menempah pertemuan dengan Katie Malif dari England dalam aksi separuh akhir B-15 wanita.

Aira antara tujuh pemain Malaysia yang layak ke kelompok empat terakhir termasuk kakaknya Aifa, S Sivasangari, K Sehveetrraa, Whitney Wilson, Amir Amirul Azhar dan M Nickhileswar.

Dirangsang kejayaan adiknya, Aifa turut mempamerkan aksi cemerlang dengan menewaskan pemain England Alice Green 11-8, 8-11, 9-11, 11-7, 11-7 dalam kategori B-17 wanita dan akan bertemu Jana Shila dari Mesir pada aksi separuh akhir.

Sivasangari, pilihan utama kategori bawah 19 wanita, mengetepikan cabaran pemain Singapura Au Yeong Wai Yhann 11-7, 11-4, 11-5 untuk menempah pertemuan dengan Elize Lazarus dari England di separuh akhir. Ia adalah kejohanan remaja terakhir buat pemain nombor dua negara itu.

Sehveetrraa menewaskan pemain Mesir Habiba Hani Diab 11-9, 11-6, 11-4 dan bakal berdepan seorang lagi pencabar dari Mesir, Malak Taha yang menewaskan pemain negara U Thanusaa 11-8, 12-10, 11-7 dalam kategori bawah 13 wanita.

Whitney akan berdepan pilihan utama bawah 11 wanita, Amina Orfi dari Mesir dalam kelompok empat terakhir selepas dia mengatasi Jana Amir, juga dari Mesir, 6-11, 11-8, 12-10, 11-6 di suku akhir.

Amir salah seorang daripada dua wakil lelaki negara yang masih meneruskan cabaran di Birmingham apabila berjaya menewaskan lawan dari Ireland Denis Gilevskiy 11-4, 11-7, 11-5 dalam kategori bawah 15. Dia akan bertemu Neel Joshi dari India.

Nickhileswar pula bangkit daripada ketinggalan dua permainan untuk menundukkan pemain England Jude Gibbins 16-18, 6-11, 11-4, 11-6, 11-6 dalam kategori bawah 11, manakala pemain Amerika Syarikat Christian Capella menamatkan cabaran Lee Hong Wong dengan kemenangan 11-3, 11-8, 9-11, 11-5.

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 7:12am
d