arena

KLHC hampiri trofi sulung

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) melangkah ke pentas final Piala Tan Sri P Alagendra buat kali pertama selepas menewaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-1 pada aksi separuh akhir, semalam.

Selain memuji kesungguhan barisan pemainnya, ketua jurulatih KLHC, Lim Chiow Chuan turut memberikan kredit kepada dua tonggak import dari Australia, Joshua Pollard serta Nicholas Budgeon yang tetap mampu memberikan aksi cemerlang meskipun baru tiba di negara ini jam 4 pagi semalam.

“Secara keseluruhan, barisan pemain saya beraksi dengan bagus dan mengikut perancangan.

“Kehadiran Pollard dan Budgeon hanya beberapa jam sebelum perlawanan banyak membantu kestabilan di dalam pasukan,” katanya.

Mengulas aksi final hari ini, Chiow Chuan tanpa berselindung menetapkan sasaran untuk mencatatkan kemenangan dan menjulang trofi kejuaraan.

“Kami perlu kekalkan prestasi seperti ini dan perlu melihat ulang tayang perlawanan hari ini untuk memperbaiki kelemahan,” katanya .

Dalam aksi tadi, Polllard tidak perlu menunggu lama untuk mencipta nama apabila menyumbang gol pertama KLHC minit ke-11 menerusi gol padang.

Namun, kedudukan itu tidak bertahan lama selepas Faridzul Afiq Mohd menyamakan kedudukan pada minit ke-23, juga hasil gol padang.

Pakar pukulan sudut penalti KLHC dari Korea Selatan, Jang Jonghyun kembali meletakkan juara bertahan Liga Perdana itu di depan pada minit ke-41, menerusi pukulan sudut penalti.

Jonghyun mengesahkan kemenangan KLHC apabila tenang menyempurnakan pukulan sudut penalti lima minit sebelum tamat perlawanan.

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 7:17am
d