arena

Juve terus himpit Napoli

Oleh AFP

MILAN: Juara bertahan, Juventus terus mengekori rapat pendahulu liga, Napoli selepas jaringan tunggal Fernando Bernardeschi memastikan kemenangan 1-0 ke atas Cagliari di Sardinia, awal pagi tadi.

Napoli pula mengukuhkan cengkaman di puncak dengan 51 mata daripada 20 perlawanan selepas menewaskan Verona 2-0 di Naples.

Mereka satu mata di atas Juventus dengan Inter Milan di tangga ketiga, sembilan mata di belakang pendahulu selepas seri 1-1 di Fiorentina, kelmarin.

Pemain sayap Itali, Bernardeschi menjaringkan gol pada minit ke-74 hasil gerakan solo Douglas Costa tetapi yang lebih merisaukan skuad Massimiliano Allegri apabila bintang Argentina, Paulo Dybala mengalami kecederaan hamstring.

Sementara itu, kedua-dua jaringan Napoli diperoleh di babak kedua perlawanan menerusi Kalidou Koulibaly yang menembusi gawang lawan pada minit ke-65 dan Jose Callejon minit ke-78.

Jurulatih Napoli, Maurizio Sarri tetap waspada walaupun kini mendahului pencabar lain dalam perebutan takhta liga.

“Kami tahu kemampuan Juventus. Mereka mampu mendapat 90 mata dan kami pula tak boleh terlalu yakin dengan diri sendiri,” katanya.

“Kami perlu mengulangi prestasi cemerlang musim lalu untuk kembali ke Liga Juara-Juara .”

Peluang Roma untuk merapatkan jurang dengan Inter lebur selepas tewas mengejut 2-1 kepada pasukan beraksi 10 pemain, Atlanta di Rome. Sebaliknya Roma jatuh ke tangga kelima.

“Kami beraksi baik 10 minit pertama. Kemudian permainan kami merosot dan hilang keyakinan selepas ketinggalan,” kata jurulatih Roma, Eusebio Di Francesco.

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 9:48am
d