arena

Durakovic tenang cari pengganti Thiago

Oleh Syafiq Aznan

PENGENDALI Perak, Mehmet Durakovic mengesahkan pasukan itu masih lagi mencari pertahanan tengah yang sesuai bagi menggantikan Thiago Junio yang menyertai FELDA United untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Jelas bekas jurulatih Selangor itu, dia enggan terburu-buru untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain kelahiran Brazil terbabit kerana mahukan yang terbaik bagi memastikan pertahanan The Bos Gaurus kekal mantap bagi mengharungi musim baharu nanti.

“Mengenai pertahanan import, kita tunggu dulu tetapi memang ada beberapa pemain import yang sudah kita kenal pasti dan berpotensi untuk menggantikan Thiago.

“Apapun, penilaian perlu dibuat dengan lebih teliti kerana kami mahu memilih pemain pertahanan yang benar-benar terbaik.

“Atas faktor ini, saya mengambil peluang menguji beberapa pemain di posisi pertahanan tengah dan nyata mereka memberikan komitmen 100 peratus dan persembahan yang baik,” katanya ketika ditemui selepas aksi persahabatan, malam tadi.

Pada aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Arena Universiti Malaya (UM) itu, Perak tidak berdepan masalah membenam FELCRA FC 5-1 masing masing menerusi dua jaringan Mohd Nizad Ayub dan Ahmad Khairil Anuar sementara satu gol dijaringkan penyerang import, Gilmar Filho.

Mengulas lanjut mengenai aksi pramusim pertama pasukan itu, Durakovic jelas gembira dengan persembahan meyakinkan anak buahnya namun mengakui masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan sebelum membuka kempen Liga M yang dijadual bermula 3 Februari ini.

“Secara ringkasnya, ini adalah permulaan musim yang baik apabila kami meraih kemenangan yang besar dan saya berpuas hati dengan persembahan pemain terutamanya pemain muda yang diturunkan pada separuh masa kedua.

“Tetapi harus diingat ini hanyalah perlawanan pertama dan perjalanan masih lagi jauh. Kita perlu terus bekerja keras supaya berada dalam keadaan yang terbaik sebelum memulakan kempen liga nanti,” katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 12:27pm
d