arena

Pugliesi belum tekan butang panik

Oleh Syafiq Aznan

PENGENDALI FELCRA FC, Tarcisio Pugliesi enggan terkesan dan mengakui tidak menjadi masalah buat pasukan itu meskipun membuka kempen pramusim mereka dengan kekalahan besar 5-1 di tangan Perak.

Jelas jurulatih kelahiran Brazil itu, mereka tidak seharusnya terlalu memikirkan mengenai keputusan perlawanan terbabit sebaliknya perlu fokus untuk meningkatkan lagi mutu permainan ketika saingan Liga Malaysia (Liga M) kini hanya berbaki kira-kira empat minggu lagi.

“Pemain baru sahaja menjalani latihan selama lebih dua minggu dan mereka juga sudah lama tidak beraksi. Jadi, mereka memerlukan masa untuk mendapatkan kembali momentum.

“Satu peluang yang baik apabila kami diberi kesempatan menentang Perak yang beraksi di divisyen utama. Walaupun kami tahu berdepan kesukaran menentang mereka, ia memberikan kami pengalaman cukup berharga,” katanya ketika ditemui selepas aksi terbabit, malam tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Arena Universiti Malaya (UM), skuad The Rivals itu terpaksa akur dengan kehebatan anak buah Mehmet Durakovic apabila tunduk 5-1 di tangan pasukan Liga Super itu dengan gol tunggal mereka disumbangkan oleh Mohd Ubaidullah.

Selepas ini, mereka bakal menguji tiga lagi pasukan iaitu bertemu Sarawak (13 Januari), FELDA United (20 Januari) dan juga Selangor (27 Januari) sebelum membuka kempen sulung Liga Perdana pada 2 Februari ini.

Dalam perkembangan lain, Pugliesi turut mengesahkan tiga pemain import mereka dijangka akan menyertai latihan pasukan terbabit minggu hadapan.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat mengulas lanjut kerana ia belum dimuktamadkan lagi dan terpulang kepada pengurusan membuat keputusan,” katanya.

Difahamkan, salah satu pemain import yang bakal menyertai pendatang baharu Liga Perdana itu adalah bekas penyerang yang pernah menyertai Kuala Lumpur, Anselmo Arruda.

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 1:27pm
d