arena

Hukuman berat buat perasuah

Oleh Zulfaizan Mansor

GANTUNG seumur hidup! Itu hukuman yang dianggap paling sesuai dikenakan ke atas jurulatih salah satu pasukan dalam Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) yang didakwa terbabit kes rasuah.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menjelaskan perkara itu perlu diambil serius semua pihak walaupun ia berlaku dalam liga bawahan.

Bagaimanapun Sathia berkata, pihaknya belum mendapat maklumat jelas sama ada jurulatih yang didakwa terbabit rasuah itu ahli PJBM atau tidak.

“Mahkamah kena buktikan yang dia benar-benar bersalah terlebih dulu. Selepas itu baru tindakan boleh diambil dan jika betul jurulatih itu memberi sogokan kepada pemain, dia perlu digantung serta tidak boleh lagi kembali dalam kancah bola sepak.

“Saya pun tidak tahu sama ada dia ada lesen atau tidak, tapi kami harap dia bukan ahli PJBM. Kalau dia ahli PJBM, kami akan gantung dia seumur hidup. Malah, tindakan sama juga pernah diambil terhadap seorang ahli kami sebelum ini.

“Bagi pihak LBR saya tidak boleh komen lanjut, tapi saya fikir mereka juga perlu buat sesuatu termasuk memanggil semua jurulatih dalam liga berkenaan bersama jawatankuasa integriti,” katanya.

Kelmarin, seorang jurulatih kelab yang beraksi dalam LBR dilaporkan ditahan ketika hadir ke pejabat Suruhanjaya

Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan untuk memberi keterangan berkenaan dakwaan dia terbabit dalam kegiatan mengatur perlawanan.

Suspek berusia 40-an itu dipercayai memberi wang sogokan antara RM80 hingga RM100 kepada semua pemain serta pegawai pasukan kendaliannya supaya mereka tewas dalam satu perlawanan LBR pada November tahun lalu.

Selain itu, Sathianathan meminta semua pasukan termasuk daripada Liga Malaysia (Liga M) dan liga bawahan menyiasat latar belakang jurulatih terlebih dahulu sebelum dilantik menguruskan pasukan.

“Jika pasukan itu sukar untuk menyiasat latar belakang jurulatih yang mahu diambil, mereka boleh tanya PJBM dan kami boleh jelaskan yang mana jurulatih ada integriti atau tidak.

“Kita kena awasi benda ini, kali ini berlaku di liga bawahan dan mungkin ia juga boleh merebak hingga ke liga atas termasuk Liga Super dan Liga Perdana,” katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 6:46pm
d