arena

PESAKA harap isu selesai

Oleh Mohd Khairie Khalid

PERSEKUTUAN Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) berharap isu dalaman serta perselisihan faham antara individu di bawah naungannya tidak dipanjangkan sehingga ke muka pengadilan.

Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata sekiranya perbincangan meja bulat juga gagal menemui penyelesaian, pihaknya sudi menjadi orang tengah supaya kemelut berkenaan dapat ditamatkan.

Kenyataan Megat itu merujuk kepada hasrat bekas juara silat dunia, Zakri Ibrahim yang akan membuat laporan polis serta memfailkan saman malu terhadap beberapa ahli jawatankuasa (AJK) dalam Persatuan Bekas Pesilat Negara (PBPN) kerana menuduhnya menipu.

“Kepada Zakri, saya secara peribadi memang kagum dengan semangat yang ada pada dirinya dan saya juga faham sesekali perasaan kita terguris. Biasalah apa yang kita buat, tak semua dipandang baik dan mungkin ia salah erti,” kata Megat.

“Tetapi saya mohon supaya perkara ini tidak diheret sehingga ke pihak polis ataupun membabitkan saman kerana ia akan berpanjangan dan tidak akan selesai. Saya juga berharap tidak ada lagi tohmahan ataupun cakap-cakap di belakang kerana kadang kala inilah hasilnya.

“Mereka mesti duduk semeja dan berbincang, sekiranya tidak jumpa jalan penyelesaian saya akan menawarkan diri untuk menjadi orang tengah agar perkara ini dapat diselesaikan.”

Zakri, bekas pemenang pingat emas Kejohanan Silat Olahraga Dunia 2000 Jakarta semalam menegaskan dia pernah memanggil beberapa individu untuk bersemuka pada 29 Disember lalu, namun mereka tidak muncul atas alasan tertentu.

Pengasas PBPN itu sudah meletakkan jawatan sebagai pengerusi pada 24 Oktober 2017 dan mendakwa terdapat pakatan mencipta tuduhan yang tidak ada bukti mengenai dirinya termasuklah melakukan penipuan.

Bekas juara silat dunia itu dijangka akan membuat laporan polis esok dan dia memberi tempoh 14 hari kepada beberapa individu untuk melakukan permohonan maaf secara terbuka atau membuktikan dirinya penipu. Jika tidak, saman malu akan difailkan.

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 7:24pm
d