arena

Coutinho pemain ketiga termahal dunia

Oleh AFP

BARCELONA: Pemain tengah Brazil, Philippe Coutinho (gambar) sudah berada di Barcelona hari ini untuk memeterai perjanjian sebanyak 160 juta euro (RM769 juta) dari Liverpool, seterusnya mencatat rekod perpindahan ketiga tertinggi dunia.

“Bem-vindo! Welcome! Benvingut! ¡Bienvenido!” Tweet yang dilakukan Barca kepada Coutinho, beserta lambang tangan yang melambai dan video menunjukkan jersi tertera namanya di bilik persalinan.

Pendahulu Liga Sepanyol itu yang akan menanti kunjungan Levante hari ini di Nou Camp, menjangkakan Coutinho akan berada di tempat duduk penonton.

Pembelian pemain tengah berusia 25 tahun itu, termasuk dengan bayaran 400 juta euro (RM1.9 bilion) klausa pelepasan kontrak, seterusnya menjadi perpindahan ketiga termahal dalam bola sepak.

Ia masih lagi belum dapat mengatasi Paris Saint-Germain (PSG) yang mencatat rekod dunia mendapatkan Neymar dari Barcelona dengan bayaran 220 juta euro (RM1 bilion) tahun lalu, dan PSG juga mendapatkan penyerang Perancis, Kylian Mbappe dengan nilai 180 juta euro (RM865 juta).

Pemain kelahiran Rio De Janeiro itu tiba di Liverpool dari Inter Milan dengan nilai 8.5 juta pound (RM43 juta) pada Januari 2013 dan sudah menjaringkan 54 gol buat kelab berkenaan dalam semua kejohanan, walaupun dia masih belum memenangi sebarang trofi dalam tempoh lima tahun di Anfield.

Barcelona cuba untuk mendapatkannya pada awal musim dan pemergiannya memberi satu tamparan buat Liverpool selepas pemain perancang itu mula mendapat rentak terbaik selepas mengalami kecederaan pada awal musim.

Coutinho menjaringkan enam gol dalam tujuh perlawanan terakhir 2017, meletakkan kelab berkenaan di kedudukan untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara.

“Ia memang terlalu berat buat kami sebagai satu pasukan dan kelab untuk mengucapkan selamat tinggal kepada seorang pemain yang baik, hebat dan luar biasa.

“Tidak ada rahsia lagi bahawa Philippe mahu berpindah sejak Julai lalu, apabila Barcelona menunjukkan minat untuk mendapatkannya.

“Philippe bersungguh-sungguh mengakui kepada saya, pemilik kelab dan rakan sepasukan, bahawa ia berada dalam keadaan terdesak untuk berhijrah,” kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 9:28pm
d