arena

'Mahrez pengganti Coutinho paling tepat'

Oleh AFP

LONDON: Legenda Liverpool, John Aldridge menggesa kelab berkenaan agar segera mencari pengganti pemain perancang, Philippe Coutinho, yang disambar Barcelona.

Pemain antarabangsa Brazil berusia 25 tahun itu berhijrah ke Sepanyol semalam, selepas Liverpool menerima rekod perpindahan Britain 160 juta euro (RM769 juta) dari kelab Catalan itu, seterusnya melakar sejarah perpindahan ketiga termahal dalam sejarah bola sepak.

“Saya tidak terkejut tetapi kecewa dia (Coutinho) meninggalkan kita, ini kerana dia seorang pemain yang hebat.

“Mereka sebelum ini membelanjakan 75 juta pound (RM406 juta) untuk mendapatkan Virgil van Dijk, pemain yang kami perlukan untuk memimpin barisan pertahanan tetapi dia (Coutinho) memerlukan pengganti dan kami harus melakukannya secepat mungkin.

“140 juta pound adalah satu nilai yang besar dan Liverpool harus belanjakan dengan bijak,” kata Aldridge kepada BBC Radio 5 Live.

Ketika ini, pemain Leicester City, Riyad Mahrez, antara pemain tonggak skuad The Foxes ketika mereka muncul juara liga pada 2016 turut dikaitkan dengan kelab berkenaan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Coutinho.

Aldridge percaya, pemain antarabangsa Algeria itu harus berada dalam pertimbangan Liverpool.

“Jika anda lihat cara permainan Coutinho, dia (Mahrez) mempunyai persamaan. Dia lebih tua, dia bermain di liga ini sudah beberapa tahun dan semua orang sudah melihat kemampuannya.

“Anda memerlukan pemain yang sama seperti Coutinho yang melakukan hantaran, serta melakukan perkara luar biasa di luar kotak penalti, mampu melakukan percubaan melengkung ke penjuru gawang dan hebat dalam mengambil sepakan percuma,” katanya.

Pemain kelahiran Rio De Janeiro itu tiba di Liverpool dari Inter Milan dengan nilai 8.5 juta pound (RM43 juta) pada Januari 2013, dan sudah menjaringkan 54 gol buat kelab berkenaan dalam semua kejohanan, walaupun dia masih belum memenangi sebarang trofi dalam tempoh lima tahun di Anfield.

Barcelona cuba untuk mendapatkannya pada awal musim dan pemergiannya memberi satu tamparan buat Liverpool selepas pemain perancang itu mula mendapat rentak terbaik selepas mengalami kecederaan pada awal musim, dengan menjaringkan enam gol dalam tujuh perlawanan terakhir 2017.

Dia turut memainkan peranan penting membantu Liverpool mara ke saingan diri ke Liga Juara-Juara.

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 10:50pm
d