arena

Hanya enam atlet para ke Komanwel

Oleh Jumiati Rosly

HANYA enam atlet para negara disenaraikan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) untuk menyertai Sukan Komanwel di Gold Coast pada April ini.

Pengurus skuad para negara ke Sukan Komanwel, Datuk R Subramaniam, berkata pada awalnya 13 atlet disenarai namun kini tinggal enam berikutan pengguguran lima atlet boling padang serta setiap seorang daripada olahraga dan renang.

“Kita hanya diberi enam tempat untuk ambil bahagian dalam lima jenis sukan - olahraga (1), berbasikal (1), ping pong (1), renang (1), powerlifting (2).

“Boling padang digugurkan daripada senarai dengan pemilihan dilakukan berdasarkan prestasi dan kelayakan,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Wisma MOM, di sini, hari ini.

Subramaniam berkata, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bagaimanapun membuat rayuan terhadap pemenang pingat emas Sukan Para ASEAN lari 100m T46 (penglihatan), Ahmad Solihim Mohd Nor dan juga pemenang emas 50m gaya bebas S8 (kecacatan anggota), Carmen Lim untuk turut serta berdasarkan prestasi semasa mereka.

“Kita akan cuba membuat rayuan bagi Solihim dan Carmen. Mereka berkemungkinan dapat disenaraikan jika ada atlet lain menarik diri yang mana akhirnya kita akan ketahui pada hujung Februari ini,” katanya.

Katanya, MPM meletakkan sasaran pingat kepada pemenang gangsa Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Jong Yee Khie dalam acara 72 kilogram sukan powerlifting.

“Mengikut prestasi semasa, dia masih mempunyai prestasi baik dan mampu menghasilkan pingat. Kita juga mengharapkan pelumba basikal, Muhammad Afiq Afifi Rizan untuk menjelmakan pingat,” katanya.

Pada temasya kali ini di Gold Coast, tujuh sukan para dipertandingkan - olahraga, renang, ping pong, boling padang, triathlon, berbasikal dan powerlifting dengan pungutan pingat akan dikira sekali untuk kontinjen negara.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 3:10pm
d