arena

Harapan V Shem di tahun baru

Oleh Fabian Peter

GOH V Shem berharap dia akan menemui keserasian baharu bersama pasangannya, Tan Wee Kiong, ketika beregu negara itu akan kembali bersama pada Kejohanan Masters Thailand, minggu ini.

Pemenang perak Olimpik Rio 2016 itu dipisahkan pada September tahun lalu kerana perbezaan peribadi namun kembali digabungkan empat bulan kemudian oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memperkuatkan skuad negara pada Piala Thomas di Bangkok Mei depan.

Kedua-dua pemain juga sudah berkahwin tahun lalu.

“Saya rasa sebagai lelaki yang sudah berkahwin, tidak banyak perubahan buat kami. Kami ada dua keutamaan ketika ini,” kata V Shem yang dihubungi di Bangkok, hari ini.

“Bagaimanapun badminton masih badminton dan kami diberikan cabaran untuk beraksi lebih baik, jadi kami perlu melakukannya dengan baik.

“Sasaran kami ketika ini bermain sebaik mungkin untuk memperbaiki kelemahan kami dan memberikan semuanya untuk negara.”

Berikutan perpecahan gabungan itu, BAM cuba menggandingkan V Shem-Wee Kiong dengan pasangan lebih muda Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Berikutan itu, bekas pasangan nombor satu dunia itu jatuh ke kedudukan 29 dunia, enam di belakang Ee Yi-Yew Sin yang kini berkedudukan nombor satu negara.

Ditanya sama ada penting buat mereka kembali ke kedudukan teratas skuad negara menjelang Piala Thomas, V Shem berkata: “Buat masa ini, saya tidak mahu terlalu memikirkannya. Ia tahun baharu dan Wee Kiong serta saya perlu beraksi dengan baik dalam kejohanan selepas ini.

“Kami mahu melakukannya satu persatu. Sudah tentu adalah bagus jika kami boleh merampas kembali kedudukan nombor satu.”

V Shem-Wee Kiong akan membuka kempen di Thailand Rabu ini menentang pemain India, Kapil Chaudhary-Brijesh Yadav pada pusingan pertama manakala pilihan keempat Ee Yi-Yew Sin menentang pasangan Perancis, Bastian Kersaudy-Julien Maio.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 5:07pm
d