arena

Terserah pada Adib

Oleh Syafiq Aznan

PENDATANG baharu Liga Perdana, FELCRA FC bersedia melepaskan tonggak pertahanannya, Adib Zainudin jika ia dilihat langkah terbaik untuk mengembangkan lagi kariernya.

Timbalan presidennya, Datuk Hazian Murad, pasukan itu tidak berdepan masalah seandainya kapten skuad bawah 23 (B-23) tahun negara terbabit mengambil keputusan menyertai pasukan baharu meskipun dia pernah menyatakan keinginan untuk terus kekal menyarung jersi FELCRA FC.

“Buat masa ini, tiada kepastian mengenai kedudukannya tetapi berdasarkan pengetahuan saya, dia belum lagi menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan.

“Jadi, saya akan pergi ke China, 13 Januari ini untuk memberi sokongan kepada skuad B-23 dan pada masa sama, saya akan duduk berbincang bersama Adib dan kita tunggulah keputusan rundingan itu nanti.

“Apapun, jika ada pasukan yang memberi tawaran lebih menarik untuk khidmatnya, saya tidak akan menghalang malah menggalakkan menyertai pasukan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui pada aksi persahabatan di sini, kelmarin.

Bekas pertahanan UiTM FC itu kini berada di China untuk membantu skuad negara mengharungi aksi Kejohanan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018.

Sebelum ini, pemain berusia 22 tahun itu menjelaskan dia hanya akan menyelesaikan isu mengenai masa depannya bersama FELCRA FC selepas tamat kejohanan benua terbabit kerana mahu fokus dengan tanggungjawab bersama skuad kebangsaan terlebih dahulu.

Difahamkan, beberapa pasukan berpangkalan di Lembah Klang dan selatan tanah air dikatakan berminat mendapatkan khidmat pemain kelahiran Mersing itu untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Dalam perkembangan lain, Hazian mengesahkan tiga pemain import baharu pasukan itu bakal diturunkan dalam tiga lagi aksi persahabatan yang akan diharungi selepas ini.

“Ada pemain import yang baru tiba, jadi mereka masih kepenatan dan kita akan memberi mereka peluang untuk beraksi dalam tiga aksi bertemu bertemu Sarawak, FELDA United dan Selangor nanti,” katanya yang turut mengesahkan Stadium Shah Alam akan menjadi gelanggang rasmi pasukan itu musim depan.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 5:15pm
d