arena

Faris sasar gelaran bersama PKNS

Oleh Zulfaizan Mansor

KEJAYAAN manis merangkul kejuaraan Liga Super 2013 dan Piala FA 2015 bersama Lions XII dilihat menjadi ‘aura’ buat Muhammad Faris Ramli apabila kembali beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Faris yang meledak satu gol ketika membantu Lions XII menewaskan Kelantan 3-1, pada final Piala FA tiga tahun lalu menjadi pemain import baharu PKNS FC selepas menandatangani kontrak selama setahun bersama skuad itu, pada Jumaat lalu.

Tugas berat pastinya digalas pemain sayap berusia 25 tahun itu apabila memegang status pemain import Asia Tenggara – dengan skuad Semut Merah mensasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Bagaimanapun, Faris menegaskan dia sudah bersedia untuk memikul segala tugas selepas menandatangani kontrak bersama skuad kendalian Datuk K Rajagobal.

“Mungkin ini rezeki saya (kembali semula) beraksi dalam Liga Malaysia dan bersama PKNS. Apa yang pasti saya akan bagi semua (kemahiran) yang saya ada.

“Saya tahu saya boleh buat yang terbaik untuk PKNS walaupun usia saya masih muda. Secara keseluruhan, pasukan ini juga dibarisi ramai pemain muda.

“Saya berharap kami mampu membentuk kombinasi yang baik termasuk dengan pemain lebih berpengalaman,” katanya yang mewakili Home United dalam Liga Singapura sejak 2016.

Faris memiliki pengalaman selama tiga tahun beraksi dalam Liga M bersama Lions XII sejak 2013 hingga 2015, tahun terakhir pasukan dari Singapura menyertai liga utama negara.

Selain itu, Faris turut menyifatkan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuka kuota pemain import untuk Asia Tenggara memberi peluang lebih besar untuk pemain Singapura beraksi dalam Liga M.

“Langkah FAM itu bagus dan membuka peluang lebih besar kepada pemain Asia Tenggara, bukan sahaja pemain Singapura, malah dari negara lain termasuk Filipina, Indonesia dan Vietnam.

“Saya adalah pemain keenam dari Singapura yang beraksi di Liga M dan mungkin lebih ramai pemain dari negara kelahiran saya dapat beraksi di Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 6:00pm
d