arena

Beto mahu lupakan kekecewaan

Oleh Syafiq Aznan

KEKECEWAAN disingkirkan daripada skuad ke Kejuaraan Bawah 23 tahun (B-23), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 sudah dilupakan dan kini perlu fokus sepenuhnya untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Itu tekad pemain tengah Perak, Ahmad Khairil Anuar Zamri yang mengakui dia enggan memikirkan isu penggugurannya daripada kejohanan berprestij itu, malah mahu terus bekerja keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad The Bos Gaurus.

“Mungkin tiada rezeki untuk mewakili skuad B-23, jadi buat masa ini, saya kekal fokus dalam melakukan persiapan lengkap untuk menjadi pemain yang lebih baik pada musim baharu ini.

“Saya tidak mahu memikirkan mengenai perkara lain kerana ketika ini, fokus dan komitmen saya adalah 100 peratus buat Perak,” katanya.

Pada aksi bertemu FELCRA FC di Stadium Arena Universiti Malaya (UM) pada Sabtu lalu, pemain berusia 22 tahun itu beraksi cemerlang apabila meledak dua gol untuk membantu pasukannya membenam pendatang baharu Liga Perdana terbabit menerusi keputusan 5-1.

Mengulas lanjut mengenai posisinya selaku pemain sayap kanan pada aksi persahabatan itu, pemain yang lebih dikenali sebagai ‘Beto’ itu mengakui tidak berdepan masalah untuk beraksi mengikut posisi ditetapkan jurulatih, Mehmet Durakovic.

“Saya agak selesa beraksi di sebelah kanan, tetapi saya tidak kisah beraksi di posisi mana pun, asalkan saya diturunkan untuk beraksi dalam perlawanan.

“Namun, saya tahu saya tidak boleh cepat selesa dengan kedudukan setakat ini dan perlu terus bekerja keras supaya sentiasa dapat memberikan persembahan yang terbaik,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 6:12pm
d