arena

Najib idam aksi Olimpik

Oleh Haika Khazi

SELEPAS kejayaan merangkul empat pingat emas di temasya Sukan Para ASEAN 2017 (Para KL2017), pelumba basikal para negara, Mohd Najib Turano, kini memasang impian untuk beraksi Sukan Paralimpik Tokyo 2020 (Paralimpik 2020).

Sebagai pembuka tirai 2018, Mohd Najib bakal mewakili negara dalam acara pecut berpasukan, 1km dan 4km kejar mengejar individu pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2018 (ACC 2018) di Velodrom Nasional, di Nilai, Negeri Sembilan, pada akhir bulan depan.

Pelumba basikal para berasal dari Banting, Selangor itu menegaskan, kemenangannya di ACC 2018 itu nanti penting bagi membolehkannya mengumpul sebanyak mungkin mata untuk memastikan pasukan Malaysia layak ke Sukan Paralimpik 2020.

Berikutan itu, Mohd Najib menegaskan, dia kini sedang membuat persiapan rapi bagi memburu kemenangan dalam acara berpasukan dan individu di Kejohanan ACC 2018 nanti.

“Ini penting kerana saya menyasarkan untuk berada dalam kelompok lima pelumba basikal terbaik Asia dan meraih kejayaan di Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia, Ogos depan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Nama Najib mula meniti di bibir peminat lumba basikal negara selepas meraih empat emas, masing-masing dua dalam acara lebuh raya dan trek Sukan Para KL2017, sekali gus membolehkannya membawa pulang RM50,000 daripada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara, pada tahun lalu.

Pada masa sama, kejayaan untuk kekal dalam Program Podium turut membakar semangat Mohd Najib untuk mengintai pingat emas acara lumba basikal kejar mengejar 4 kilometer C4 (kecacatan kaki) di Sukan Para Asia 2018.

Pelumba berusia 30 tahun ini juga kini sedang giat membuat persiapan rapi bagi menyertai acara pecut berpasukan di Sukan Para Asia itu nanti dan bakal menyertai dua acara lain - ujian masa lebuh raya dan dan 1km individu lelaki - di temasya sukan terbesar benua ini.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 7:11pm
d