arena

Komanwel gamit tiga atlet olahraga

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Tiga atlet olahraga negara yang berada dalam Program Podium mempunyai lebih peluang disenaraikan untuk ke Sukan Komanwel di Gold Coast.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim berkata tiga atlet Podium - jaguh lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa, atlet lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail dan atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsudin mempunyai peluang lebih cerah apabila disenaraikan dalam senarai 18 atlet olahraga untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke Gold Coast. Sementara 16 lagi senarai atlet dikemukakan buat Sukan Asia di Indonesia.

“Kami membentangkan permohonan kami untuk setiap satu atlet dan bukanlah cadangan kosong saja.

“Kami memberi saranan supaya Khairul Hafiz Jantan (pelari pecut) untuk disenaraikan bagi Sukan Komanwel dan Sukan Asia sementara atlet dalam Program Podium bakal mempunyai kelebihan berdasarkan prestasi mereka,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan MOM semalam.

Ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas berkata, Nauraj juga dilihat berpeluang menghasilkan pingat di Gold Coast memandangkan dia kini berada ranking 13 dunia dan tidak ketinggalan Irfan dan Hakimi.

“Warna pingat itu bergantung kepada prestasi semasa atlet (Podium) itu nanti,” katanya.

Mengenai peluang raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz, Zainal berkata statusnya masih belum diketahui.

“Jika diikutkan catatan 10.18s yang dicatatnya pada tahun 2016, Khairul mempunyai peluang berada di kedudukan keenam mengikut catatan masa Sukan Komanwel edisi lalu di Glasgow dan kesembilan di Asia. Berdasarkan catatan masa 10.24s yang dilakukan 2017, rankingnya di Asia semakin menurun walaupun dia jaguh Asia Tenggara,” katanya.

Katanya, peluang atlet negara untuk mempamerkan kemampuan juga lebih baik pada Sukan Asia di Indonesia berbanding Sukan Komanwel yang mempunyai tahap saingan lebih sengit apabila jagoan dunia akan turut bertanding.

“Kita tidak mahu atlet pergi dalam keadaan tidak bersedia memberi saingan,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 3:26am
d